Harga gula akan dinaikkan tidak lama lagi

BeritaHarian Wed, Jun 08, 2022 04:32pm - 1 year View Original


KUALA LUMPUR: Kerajaan dijangka akan mengumumkan semakan semula harga gula dalam masa terdekat sejajar dengan tekanan kenaikan kos ketika ini, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSM Malaysia Holdings Bhd, Syed Feizal Syed Mohammad.

Beliau berkata, pengeluar gula utama tempatan termasuk MSM dan Central Sugar Refinery Sdn Bhd (CSR) telah melaksanakan libat urus secara menyeluruh dengan beberapa kementerian dalam tempoh beberapa bulan yang lalu.

Beliau berkata, daripada libat urus dan perbincangan yang dilaksanakan itu, pihak industri yakin kerajaan akan menetapkan harga siling gula baharu yang lebih komprehensif.

"Pengeluar gula utama sudah membuat libat urus dan membentangkan mengenai semua perkara termasuk kenaikan 30 peratus dalam kos pengeluaran.

"Antara kementerian yang terbabit adalah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kementerian Kewangan (MOF), Unit Perancangan Ekonomi (EPU) serta agensi dan peserta industri lain yang terbabit.

"Ketika ini, ia dalam penelitian kerajaan dan berdasarkan gambaran awal, kami yakin kerajaan akan membuat keputusan yang terbaik," katanya selepas Mesyuarat Agung Tahunan MSM secara maya, hari ini.

Turut hadir Pengerusi MSM, Datuk Syed Hisham Syed Wazir.

Mengulas lanjut, Syed Feizal berkata semakan harga adalah perlu kerana secara dasarnya harga gula hanya naik satu sen sejak 2011.

Katanya, pada 2017, kerajaan menaikkan harga gula bertapis sebanyak 11 sen sebelum membuat keputusan mengurangkan harga sebanyak 10 sen pada 2018, menjadikan kenaikan harga satu sen sejak 2011 kepada RM2.85 satu kilogram itu tidak lagi dapat menampung lonjakan kos pengeluaran sebanyak 30 peratus.

Beliau menegaskan, walaupun gula bertapis satu kilogram dijangka naik, tetapi ia seharusnya tidak dijadikan polemik kepada semua pihak.

"Harga yang naik tidak memberi kesan kepada isi rumah kerana secara puratanya isi rumah hanya menggunakan sekilogram gula sebulan. Ini bermakna, kenaikan bulanan adalah rendah. Gula bukanlah barangan keperluan yang banyak digunakan seperti ayam, telur dan beras.

"Malah, pihak industri seperti peserta utama serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terbabit dalam pengeluaran produk minuman turut memberi jaminan tidak akan menaikkan harga jika penetapan harga gula baru ini dinaikkan.

"Peserta industri turut memahami situasi yang berlaku ketika ini," katanya.

MSM kekal fokus untuk mengekalkan pelan pemulihannya di tengah-tengah peningkatan elemen kos pengeluaran utama iaitu gula mentah, pengangkutan, gas asli dan pertukaran asing.

Pengeluar jenama gula bertapis nasional 'Gula Prai' itu telah pulih dengan prestasi kewangan yang lebih baik sejak 2020 walaupun menghadapi cabaran pasaran.

MSM mencatatkan peningkatan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM81 juta untuk tahun kewangan 2021, berbanding RM36 juta pada tahun kewangan 2020.

Kumpulan juga mencatatkan peningkatan tiga peratus pendapatan sebanyak RM2.26 bilion untuk 12 bulan tahun kewangan 2021 berbanding RM2.18 bilion pada tahun kewangan sebelumnya.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

MSM 3.180

Comments

Login to comment.