MSM laksana rundingan semak semula harga siling gula

HarianMetro Thu, Jun 09, 2022 09:25am - 1 year View Original


Kuala Lumpur: Penggiat industri gula MSM Malaysia Holdings Bhd sedang mengadakan rundingan dengan kerajaan untuk menyemak semula harga siling gula di tengah-tengah peningkatan kos bahan mentah dan muatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Syed Feizal Syed Mohammad berkata, ketika ini, harga gula bertapis borong domestik dihadkan pada RM2.69 sekilogram.

"Anggarannya adalah sekitar 20 peratus kenaikan (dalam kos input) secara asasnya apabila anda menggabungkan semua kos input. Ini sudah kami kongsikan kepada kerajaan.

"Gula adalah industri yang paling boleh bertahan berbanding yang lain. Sejak 2011 sehingga kini, kami hanya mengalami kenaikan bersih satu sen bagi sekilogram gula dan ia tidak berbaloi berbanding inflasi dan kos-kos lain," katanya pada sidang media secara maya selepas Mesyuarat Agung Tahunan kumpulan, semalam.

Syed Feizal berkata. pengeluar gula utama tempatan termasuk MSM dan Central Sugar Refinery Sdn Bhd (CSR) sudah melaksanakan libat urus secara menyeluruh dengan beberapa kementerian dalam tempoh beberapa bulan lepas.

Beliau berkata, susulan daripada libat urus dan perbincangan yang dilaksanakan, pihak industri yakin kerajaan akan menetapkan harga siling gula baharu yang lebih komprehensif.

"Perkara itu sedang ditelitikan, dan setakat ini nampak ada sokongan positif, tetapi saya tidak mahu menjawab bagi pihak kerajaan. Terpulang kepada budi bicara kerajaan, dan dalam masa terdekat ini, mungkin kita mendapat maklum balas," katanya.

Ditanya mengenai impak kenaikan harga gula kepada isi rumah, Syed Feizal berkata, kenaikan tidak akan memberi kesan yang besar terhadap segmen itu.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember, 2021, MSM menjangkakan cabaran yang lebih besar dengan peningkatan kos pengeluaran utama.

Kos penapisan bagi kumpulan ini mencatatkan peningkatan 28 peratus, dipacu terutamanya oleh kenaikan 86 peratus kos gas pada suku berkenaan yang berakhir 31 Mac 2022.

Sebagai satu daripada inisiatif pengurangan, Syed Faizal berkata, MSM sudah melindung nilai harga gula mentah.

"Pihak lembaga pengarah memberi mandat kepada pengurusan untuk membeli (bahan mentah) dua tahun akan datang. Untuk 2022, kami sudah melindung nilai di bawah pasaran pada 16 hingga 17 sen AS setiap paun berbanding harga pasaran sebanyak 19 sen AS setiap paun," katanya.

Melangkah ke hadapan, Syed Feizal berkata, MSM akan meneroka perkongsian strategik untuk mengukuhkan segmen eksport dan memperlihatkan lebih banyak nilai sinergi pada 2022 bagi memastikan pulangan yang konsisten dan nilai pemegang saham yang lebih besar sebagai pengeluar gula bertapis premium yang utama di negara ini.

"Dari segi eksport, kami akan menghasilkan kira-kira 250,000 tan tahun ini berasaskan penghantaran dengan kontrak yang ditandatangani sekitar 300,000 tan setahun," katanya.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

MSM 3.190

Comments

Login to comment.