Bursa Malaysia ditutup rendah seiring bursa serantau

BeritaHarian Thu, Jun 09, 2022 06:33pm - 1 year View Original


KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup rendah secara menyeluruh, seiring dengan bursa serantau, dengan meneruskan penurunan pada hari keenam berturut-turut dalam keadaan sentimen negatif yang menyelubungi rantau ini.

Pada 5 petang, indeks petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) ditutup rendah 14.15 mata kepada 1,509.71 berbanding 1,523.86 pada Rabu.

Indeks petunjuk pasaran itu dibuka rendah 0.55 mata kepada 1,523.31, bergerak antara 1,508.0 dan 1,526.83 pada sepanjang sesi dagangan.

Di pasaran lebih meluas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 601 berbanding 315, manakala 394 kaunter tidak berubah, 964 tidak diniagakan dan 10 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 2.88 bilion unit bernilai RM2.06 bilion berbanding 3.26 bilion unit bernilai RM1.96 bilion pada Rabu.

Peniaga berkata Bursa Malaysia dibuka rendah pagi ini dan terus mencatatkan dagangan rendah sehingga berakhirnya sesi dagangan pagi, dibebankan oleh jualan yang berterusan daripada saham-saham wajaran tinggi.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng memberitahu Bernama, indeks utama serantau ditutup negatif secara menyeluruh berikutan pelabur bimbang terhadap potensi kemelesetan di Amerika Syarikat, Eropah dan negara-negara serantau lain akibat kenaikan kadar faedah.

Beliau berkata sentimen itu menjadi semakin buruk susulan amaran Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) bahawa ekonomi dunia akan mengalami "harga yang tinggi" susulan perang di Ukraine termasuk pertumbuhan yang lembap, inflasi yang lebih kuat dan kemusnahan rantaian bekalan yang berlanjutan.

"Di peringkat tempatan, FBM KLCI telah melepasi paras sokongan 1,550 dan 1,520 dalam tempoh beberapa hari dagangan dan semakin terarah kepada paras sokongan kritikal 1,500.

"Kami berpandangan bahawa pasaran tempatan akan berdepan beberapa cabaran akibat kekurangan sokongan belian di tengah-tengah peningkatan ketidaktentuan di pasaran serantau. Justeru, kami menjangkakan indeks penanda aras akan bergerak antara julat 1,500 hingga 1,515 menjelang akhir minggu ini," katanya.

Di peringkat serantau, Indeks Straits Times susut 0.66 peratus kepada 3,204.38, Nikkei 225 Jepun menokok 0.04 peratus kepada 28,246.53, Hang Seng Hong Kong turun 0.66 peratus kepada 21,869.05, KOSPI Korea Selatan merosot 0.03 peratus 2,625.44 dan Indeks Komposit SSE China berkurangan 0.76 peratus kepada 3,238.95.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank turun empat sen kepada RM8.80, Petronas Chemicals susut 21 sen kepada RM9.64, IHH Healthcare berkurangan 13 sen kepada RM6.40, manakala Public Bank dan CIMB masing-masing tidak berubah pada RM4.57 dan RM5.07.

Bagi saham aktif, Yew Lee Pacific menambah 1.5 sen kepada 30.5 sen, EA Holdings dan Green Packet berkurangan setengah sen masing-masing kepada satu sen and tujuh sen, LGMS berkurangan 13 sen kepada 71.5 sen, manakala Dynaciate tidak berubah pada 14.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas rendah 91.31 mata kepada 10,841.68, Indeks FBM Emas Syariah berkurangan 124.63 mata kepada 11,108.75, FBM 70 turun 65.92 mata kepada 13,226.19, FBM ACE jatuh 64.16 mata kepada 5,169.94 dan Indeks FBMT 100 merosot 87.81 mata kepada 10,534.50.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 57.40 mata kepada 16,521.71, Indeks Perladangan merosot 146.41 mata kepada 7,665.37 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian rendah 2.22 mata kepada 194.04.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama menguncup kepada 1.66 bilion saham bernilai RM1.70 bilion berbanding 1.71 bilion saham bernilai RM1.55 bilion pada Rabu.

Jumlah dagangan waran berkurangan kepada 300.45 juta unit bernilai RM55.52 juta berbanding 539.76 juta unit bernilai RM94.67 juta semalam.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE susut kepada 923.57 juta saham bernilai RM302.22 juta daripada 1.01 bilion saham bernilai RM317.92 juta sebelum ini.

Kaunter barangan pengguna dan perkhidmatan menyumbang 195.19 juta saham diniagakan di Pasaran Utama, produk perindustrian dan perkhidmatan (618.82 juta), pembinaan (56.93 juta), teknologi (86.06 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (63.98 juta), hartanah (128.63 juta), perladangan (33.28 juta), REIT (9.75 juta), dana tertutup (4,000), tenaga (220.71 juta), penjagaan kesihatan (96.87 juta), telekomunikasi dan media (88.48 juta), pengangkutan dan logistik (31.69 juta) dan utiliti (24.78 juta). – Bernama

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

BURSA 7.460
EAH 0.005
FBMKLCI 1569.250
GPACKET 0.045
IHH 6.250
LGMS 1.090
PBBANK 4.230

Comments

Login to comment.