Snowfit Group mulakan dagangan di Pasaran LEAP

BeritaHarian Tue, Jun 21, 2022 01:07pm - 1 year View Original


KUALA LUMPUR: Snowfit Group Bhd, penyedia peralatan urut dan kesejahteraan serta alat muzik dan aksesori, mula disenaraikan di Pasaran LEAP Bursa Malaysia Securities Bhd pada Selasa dengan mencatatkan premium empat sen apabila dibuka pada 16 sen sesaham, berbanding dengan harga rujukan 12 sen.

Kira-kira 30,000 saham didagangkan semasa pembukaan.

Bagi Bursa Malaysia, penyenaraian itu merupakan yang ke-14, sementara yang kedua untuk Pasaran LEAP setakat ini bagi 2022.

Sebelum penyenaraian syarikat itu, 29 pelabur termasuk pemegang saham utama, pengarah dan kakitangan pengurusan utama telah melanggan 21.1 juta saham baharu Snowfit, yang mewakili 10 peratus daripada modal saham terbitan yang diperbesarkan pada harga langganan 12 sen sesaham.

Pengasas dan Pengarah Urusan Snowfit, Low Cheng Yong berkata syarikat mengumpul hasil kasar sebanyak RM2.53 juta, dengan 15.8 peratus atau RM400,000 diperuntukkan bagi penubuhan cawangan di Perak dan Pulau Pinang, yang masing-masing dijadualkan beroperasi pada suku ketiga dan keempat 2022.

Beliau berkata 44.7 peratus lagi atau RM1.132 juta akan digunakan sebagai modal kerja, manakala bakinya untuk perbelanjaan penyenaraian.

Penyenaraian itu akan membolehkan syarikat terus mengukuhkan kehadiran dalam pasaran domestik dengan memanfaatkan pertumbuhan industri peralatan urut dan kesejahteraan yang dijangkakan di Malaysia, katanya.

"Kami melihat pasaran cerah untuk industri ini memandangkan bahagian pasaran kerusi urut bagi isi rumah adalah rendah.

"Kami menyasar untuk terus berkembang ke seluruh Malaysia pada tahun-tahun akan datang dan berharap dapat disenaraikan di Pasaran ACE dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang," katanya kepada pemberita selepas majlis penyenaraian itu hari ini.

Beliau berkata industri itu berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) 23.4 peratus daripada RM90.4 juta pada 2016 kepada RM209.6 juta pada 2020.

Ia diunjurkan berkembang pada CAGR 19.5 peratus bagi tempoh 2021 hingga 2023 daripada RM242.1 juta kepada RM345.6 juta, katanya.

Mengenai kelebihan saingannya, beliau berkata kehadiran syarikat dalam pasaran bukan untuk bersaing, tetapi untuk saling melengkapi dan menghormati antara satu sama lain.

"Sebagai syarikat baharu, dengan anak muda yang menguruskan syarikat, kami percaya kebahagiaan akan mendorong produktiviti dan berharap kita semua dapat berkembang bersama-sama untuk memberikan perkhidmatan dan produk kesihatan dan kesejahteraan yang lebih baik di Malaysia," katanya.

Produk syarikat itu termasuk rangkaian luas kerusi urut dan peralatan kesejahteraan berkualiti tinggi yang dijual secara runcit melalui pelbagai saluran dalam talian dan luar talian termasuk platform e-dagang dan dua bilik pameran merangkap gudang di Balakong, Selangor dan Johor Bahru, Johor.

Bagaimanapun, memandangkan syarikat mahu menumpukan kepada industri kesejahteraan, ia akan menghentikan operasi segmen alat muzik dan aksesori sebaik sahaja baki stok dijual.

– Bernama

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

BURSA 7.430
SNOWFIT 0.200

Comments

Login to comment.