IPO Ecoscience dijangka raih modal RM24.7 juta

BeritaHarian Tue, Jun 21, 2022 04:32pm - 1 year View Original


KUALA LUMPUR: Penyedia perkhidmatan pengilangan minyak sawit bersepadu, Ecoscience International Bhd (Ecoscience) yang akan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia dijangka meraih dana RM24.7 juta menerusi tawaran awal permulaan (IPO).

Pengarah Urusannya, Wong Choi Ong, berkata daripada jumlah yang bakal diraih itu, Ecoscience merancang untuk menggunakan RM5 juta untuk mewujudkan kemudahan fabrikasi baharu dan pejabat di Balikpapan, Kalimantan, Indonesia.

Katanya, sejumlah RM1 juta akan diperuntukkan untuk mengembangkan perniagaan cekap tenaga dan mesra alam, manakala RM7.9 juta lagi diperuntukkan untuk modal kerja.

"Ecoscience turut memperuntukkan RM7 juta dan RM3.8 juta lagi, masing-masing untuk membayar balik pinjaman bank dan perbelanjaan penyenaraian," katanya pada sidang media selepas pelancaran prospektus Ecoscience secara maya hari ini.

IPO Ecoscience membabitkan sebanyak 112.2 juta terbitan/tawaran saham merangkumi 33 peratus daripada modal saham yang diperbesarkan terdiri daripada terbitan awam sebanyak 82.2 juta saham baharu dan tawaran untuk penjualan 30 juta saham sedia ada dikenali sebagai saham IPO.

Ia merangkumi 17 juta saham IPO untuk rakyat Malaysia; 6.8 juta saham IPO untuk pengarah, pekerja dan individu layak yang telah menyumbang kepada kejayaan Ecoscience; 42.5 juta saham IPO menerusi penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera yang dikenalpasti yang diluluskan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI); serta 45.9 juta saham IPO melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.

Pada harga terbitan 30 sen sesaham dan modal saham yang diperbesarkan sebanyak 340 juta saham selepas penyenaraian, Ecoscience dijangka memiliki permodalan pasaran sebanyak RM102 juta.

Selaras dengan pelancaran prospektus Ecoscience, permohonan untuk Terbitan Awam dibuka hari ini dan akan ditutup pada 1 Julai 2022 jam 5.00 petang.

Ecoscience dijadualkan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Securities pada 18 Julai ini.

Hong Leong Investment Bank Bhd ialah Penasihat Utama, Penaja, Penaja Jamin dan Ejen Penempatan untuk pelaksanaan IPO Ecoscience.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

BURSA 7.470
EIB 0.340

Comments

Login to comment.