Bursa Malaysia ditutup paras terendah sejak Mei 2020

BeritaHarian Wed, Jun 22, 2022 07:09pm - 1 year View Original


KUALA LUMPUR: Aktiviti jualan ketara dalam saham perladangan, tenaga dan penjagaan kesihatan mengheret Bursa Malaysia untuk ditutup pada paras terendahnya dalam tempoh 25 bulan, kata peniaga.

Pada 5 petang, indeks barometer merosot 26.78 mata atau 1.83 peratus kepada 1,431.10 berbanding 1,457.88 pada Selasa.

Ia adalah paras paling rendah sejak 20 Mei 2020 iaitu 1,435.12.

Indeks utama dibuka kukuh 3.25 mata kepada 1,461.13 dan mencapai paras tinggi pada 1,461.53 ketika awal pagi sebelum merosot kepada paras terendah harian 1,431.10 pada penutup sesi berkenaan.

Di pasaran secara meluas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 640 berbanding 255, manakala 381 kaunter tidak berubah, 999 tidak diniagakan dan 19 yang lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan susut kepada 2.72 bilion unit bernilai RM1.90 bilion daripada 2.79 bilion unit bernilai RM1.86 bilion pada Selasa.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata kemerosotan di bursa tempatan adalah seiring dengan prestasi serantau dengan indeks utama yang pada umumnya lebih rendah secara meluas berikutan pelabur berhati-hati menjelang bukti penting Pengerusi Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) Jerome Powell yang dijangka dalam kecenderungan menaikkan kadar faedah.

"Selain itu, kebimbangan mengenai kemerosotan ekonomi di AS boleh menular di rantau lain di dunia," kata Thong kepada Bernama.

Hala tuju bursa tempatan dalam masa yang terdekat kekal tidak menentu dan akan bergantung kepada ketidakstabilan serantau, katanya.

"Bagaimanapun, pada paras semasa, kami percaya FBM KLCI kekal dalam kedudukan terlebih jual, justeru, kami menjangkakan indeks penanda aras akan meningkat tidak lama lagi," katanya.

Thong menjangkakan bursa tempatan akan bergerak lebih tinggi dalam julat 1,430-1,460 bagi tempoh yang berbaki minggu ini, dengan rintangan segera pada 1,490 dan sokongan pada 1,415.

Bagi saham wajaran tinggi Bursa Malaysia, Sime Darby Plantation susut 38 sen kepada RM4.04, Kuala Lumpur Kepong turun RM1.30 kepada RM22.14, IHH Healthcare berkurangan 11 sen kepada RM6.38, Hartalega turun 23 sen kepada RM2.17 dan Dialog Group menyusut tiga sen kepada RM2.07.

Bagi saham aktif, TWL Holdings jatuh satu sen kepada 6.5 sen, Top Glove menyusut tujuh sen kepada RM1.01, manakala MNC Wireless tidak berubah pada 1.5 sen, Lay Hong menokok 1.5 sen kepada 28.5 sen, dan Cypark Resources meraih satu sen kepada 42.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 183.60 mata kepada 10,211.24, Indeks FBM Emas Syariah susut 223.56 mata kepada 10,343.98, FBM 70 merosot 192.92 mata kepada 12,359.51, Indeks FBMT 100 jatuh 178.96 mata kepada 9,952.34 dan FBM ACE menguncup 109.49 mata kepada 4,715.49.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menguncup 183.06 mata kepada 15,976.12, Indeks Perladangan jatuh 325.34 mata kepada 6,789.63 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 3.30 mata kepada 183.06.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 1.73 bilion saham bernilai RM1.65 bilion daripada 1.69 bilion saham bernilai RM1.56 bilion pada Selasa.

Jumlah dagangan waran menokok kepada 547.89 juta unit bernilai RM106.68 juta berbanding 543.84 juta unit bernilai RM102.68 juta semalam.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE menyusut kepada 441.90 juta saham bernilai RM137.99 juta daripada 555.05 juta saham bernilai RM200.21 juta sebelum ini.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 332.79 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (471.30 juta), pembinaan (49.78 juta), teknologi (154.45 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (59.15 juta), hartanah (241.17 juta), perladangan (48.82 juta), REIT (6.07 juta), dana tertutup (sifar), tenaga (202.52 juta), penjagaan kesihatan (110.63 juta), telekomunikasi dan media (25.52 juta), pengangkutan dan logistik (24.62 juta) dan utiliti (11.75 juta). – Bernama

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

BURSA 7.430
CYPARK 0.920
DIALOG 2.270
FBMKLCI 1530.600
IHH 6.060
KLK 22.300
LAYHONG 0.370
MNC 0.135
SIMEPLT 4.350
TWL 0.030

Comments

Login to comment.