Inflasi dijangka kian melonjak

HarianMetro Thu, Jun 23, 2022 07:00am - 1 year View Original


LANGKAH kerajaan memansuhkan subsidi ayam, telur dan minyak masak botol dijangka menyebabkan inflasi makanan meningkat lebih tinggi di tengah-tengah kemuncak harga komoditi di peringkat global, demikian menurut MIDF Research.

Firma penyelidik itu dalam satu nota penyelidikan berkata, dalam tempoh empat bulan tahun ini, harga makanan meningkat 3.9 peratus tahun ke tahun.

Malah, katanya, ia meramalkan tekanan inflasi keseluruhan mungkin melebihi 3.0 peratus tahun ke tahun jika harga makanan meningkat lebih tinggi dari paras semasa.

"Sekiranya isu bekalan makanan domestik semakin teruk, inflasi utama mungkin mencecah puncak baharu 5.8 peratus tahun ke tahun jika inflasi makanan melonjak 7.0 peratus tahun ini dan 10 peratus pada 2023," katanya.

Sepanjang 2011 hingga 2019, purata inflasi makanan sekitar 2.9 peratus setahun.

MIDF Research berkata, senario dibuat berdasarkan andaian harga minyak mentah Brent berada pada paras purata AS$112 satu tong tahun ini dan AS$120 satu tong pada 2023.

"Paling penting, subsidi bahan api RON95 dan Diesel diandaikan kekal pada paras semasa sehingga akhir 2023," katanya.

Menurut firma penyelidik itu, ia turut meninjau senario lain terutama jika subsidi bahan api dimansuhkan secara beransur-ansur dan serta-merta.

"Walaupun dengan fasa beransur-ansur, inflasi utama meningkat melepasi 5.0 peratus pada 2023 kerana pengguna dan pengeluar perlu menyesuaikan serta menormalkan keadaan daripada RON95 bersubsidi RM2.05 seliter kepada RM4.67 seliter menjelang akhir tahun depan.

"Pada ketika ini, kebanyakan ekonomi menghadapi trilema dasar terutama dalam mengimbangi pertumbuhan ekonomi, risiko inflasi dan beban fiskal," katanya.

Kawalan harga siling ayam, telur ayam serta subsidi minyak masak botol bagi isipadu dua, tiga dan lima kilogram tidak diteruskan mulai 1 Julai ini.

Sebelum ini, dilaporkan penternak berharap kerajaan mengapungkan harga ayam susulan penamatan subsidi kepada mereka.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, berkuat kuasa 1 Julai ini, Putrajaya tidak akan lagi memberi subsidi kepada penternak ayam.

Semalam, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata, subsidi minyak masak botol dua hingga lima kilogram dimansuh bermula 1 Julai ini.

Tindakan itu diambil bagi memastikan bekalan bahan makanan dalam pasaran lebih stabil dalam jangka masa panjang.

Bagaimanapun subsidi bagi minyak masak paket satu kilogram masih diteruskan.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Comments

Login to comment.