MNHB dapat kontrak RM27 juta

BeritaHarian Thu, Jun 23, 2022 11:50am - 1 year View Original


KUALA LUMPUR: Pakar utiliti bawah tanah dan kejuruteraan substesen, MN Holdings Bhd (MNHB) memperoleh empat kontrak penyelesaian serta perkhidmatan yang keseluruhannya bernilai RM27 juta.

Kontrak pertama diperoleh anak syarikat milik penuhnya, MN Power Transmission Sdn Bhd (MN Power) untuk melaksanakan kerja reka bentuk dan pembinaan tambahan dua substesen terlindung udara (2 x 45 MVA) di PMU 132/33kV Raub, Pahang bernilai RM16.9 juta.

Kontrak dianugerahkan oleh Tenaga Nasional Bhd (TNB) itu dijangka akan disiapkan pada Disember 2023.

Tiga lagi kontrak dianugerahkan kepada satu lagi anak syarikat milik penuhnya, Mutu Nusantara Sdn Bhd.

Mutu Nusantara menerima Surat Penganugerahan (LOA) daripada KL-Kepong Oleomas Sdn Bhd untuk menyediakan kerja pembinaan penggerudian berarah mendatar (HDD) bernilai RM4.3 juta.

Kontrak itu, yang dijangka siap pada Mac 2023, membabitkan kerja membekal, menghantar, memasang, menguji, melaksana dan menyerah kerja pembinaan HDD bagi cadangan substesen di Kilang Oleokimia KLK di Klang, Selangor.

Mutu Nusantara turut menerima satu kontrak daripada Top Synthetic Rubber Sdn Bhd, unit Top Glove Corporation Bhd untuk menyediakan kerja pembinaan HDD bernilai RM3.5 juta.

Skop kontrak itu merangkumi kerja membekal dan memasang HDD bagi kabel TNB yang dipasang dari substesen F44SL/11 kV P/E kepada substesen PPU Sungai Mas dan PPU Sungai Manggis untuk loji yang terletak di Sungai Langat, Selangor.

Selain itu, Mutu Nusantara menerima LOA daripada Impiana Mahir Sdn Bhd, dengan melantiknya sebagai subkontraktor untuk menyediakan kerja pembinaan HDD bernilai RM2.3 juta.

Di bawah kontrak itu, Mutu Nusantara bertanggungjawab untuk memasang, menguji dan melaksana kabel kuasa 11kv dan kerja membina kabel himpun voltan tinggi untuk substesen P/E Lei Heng Farm ke substesen P/E Puncak Inn Bukit di Bukit Fraser bagi pembangunan aset subzon timur Bentong, unit pengagihan rangkaian TNB.

Pengarah Eksekutif MNHB, Datuk Clement Toh, berkata syarikat itu bermula dengan baik.

"Dengan kontrak baharu ini, MNHB berjaya meningkatkan pesanan kepada kira-kira RM192 juta," katanya.

Empat kontrak itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan perolehan syarikat bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2023 dan 2024, selain perolehan akan datang dan aset bersih sesaham kumpulan sepanjang tempoh kontrak.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

MNHLDG 0.640
TENAGA 11.400

Comments

Login to comment.