Saham YXPM mula diniagakan di Bursa Malaysia

BeritaHarian Thu, Jun 23, 2022 03:19pm - 1 year View Original


KUALA LUMPUR: Pemborong dan pengilang barang kemas emas, YX Precious Metals Bhd (YXPM) mula disenaraikan di Pasaran ACE hari ini pada harga terbitan 28 sen sesaham.

Pada pembukaan, kaunter itu menyaksikan 4.82 juta saham bertukar tangan.

Selepas penyenaraiannya, syarikat itu akan mempunyai permodalan pasaran berjumlah RM104.2 juta dengan modal saham yang diperbesarkan sebanyak 372.2 juta saham.

Pengarah Urusan YXPM, Ng Sheau Chyn, berkata syarikat itu merancang untuk mengembangkan operasi tempatannya tahun ini, meningkatkan bahagian pasaran semasanya sebanyak 6.1 peratus dengan kira-kira 300 pelanggan runcit setakat ini.

"Kami akan mengembangkan rangkaian barang kemas emas kerana trend pasaran telah menuju ke arah reka bentuk bergaya yang lebih ringan dan harga emas kekal pada harga yang stabil buat masa ini.

"Kami juga akan menaik taraf kemudahan operasi dengan mengautomasikan beberapa proses pembuatan dan menyediakan perkhidmatan penapisan dan penting kepada pelanggan runcit," katanya pada sidang media selepas majlis penyenaraian itu hari ini.

Ng berkata, YXPM, anak syarikat Tomei Consolidated Bhd sedang merancang untuk mengembangkan pangkalan pelanggan tempatannya yang kini menyumbang kira-kira 90 peratus daripada jumlah pelanggannya dan tidak bercadang untuk meningkatkan pasaran luar negara.

"Peningkatan hasil syarikat datang daripada pelanggan sedia ada dan baharu, kami juga sangat berhati-hati dalam mendekati pelanggan baharu kerana kami perlu menilai risiko kredit mereka," katanya.

YXPM ialah pusat bekalan sehenti untuk barang kemas emas, melayani pelanggan di Malaysia, Jerman, Hong Kong, Indonesia, Myanmar dan Singapura.

Syarikat itu menjangkakan untuk mengumpul sejumlah RM31.3 juta daripada penyenaraian itu, memperuntukkan RM6.9 juta daripada hasil untuk mengembangkan rangkaian barang kemas emas dan meningkatkan kecekapan operasi, RM20.86 juta untuk keperluan modal kerja bagi memenuhi permintaan pada masa hadapan dan RM3.50 juta untuk perbelanjaan penyenaraian.

-BERNAMA

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

TOMEI 1.620
YXPM 0.280

Comments

Login to comment.