Hong Seng jual 35 peratus pegangan dalam Pantasniaga

BeritaHarian Fri, Jun 24, 2022 10:09pm - 1 year View Original


KUALA LUMPUR: Hong Seng Consolidated Bhd (Hong Seng) mengumumkan bahawa anak syarikat milik penuhnya, HS Bio Sdn Bhd (HS Bio) pada 24 Jun 2022, memeterai Perjanjian Jualan Saham dengan Arena Mawar Sdn Bhd untuk pelupusan 35,000 saham biasa atau 35 peratus kepentingan ekuiti dalam Pantasniaga Sdn Bhd untuk jumlah pertimbangan tunai RM24 juta.

Dalam pemfailan kepada Bursa Malaysia mendedahkan bahawa pegangan saham HS Bio dalam Pantasniaga akan dikurangkan daripada 51 peratus kepada 16 peratus selepas selesai cadangan pelupusan.

Penjualan itu dijangka menjana anggaran keuntungan kira-kira RM20 juta kepada Kumpulan.

Syarikat itu berkata, pelupusan dilihat sebagai peluang yang tepat pada masanya untuk merealisasikan keuntungan segera di mana hasil boleh digunakan untuk membiayai perniagaan sedia ada kumpulan dan mana-mana perniagaan berpotensi yang mendatang.

Pantasniaga ialah penyedia penyelesaian penjagaan kesihatan sains hayat yang menawarkan produk, perkhidmatan dan penyelesaian yang berkualiti serta bernilai tambah kepada pelanggan dalam kedua-dua sektor kerajaan dan swasta.

Syarikat itu ialah wakil dan pengedar sah untuk BGI Genomics Co., Ltd., penyedia terkemuka dunia bagi perkhidmatan penjujukan genomik dan proteomik, kini memiliki pelanggan di lebih 66 negara.

Sepanjang tahun 2020 hingga 2022, Pantasniaga, katanya, telah memperoleh dan memenuhi beberapa kontrak bernilai kira-kira RM200 juta untuk membekalkan kit ujian PCR untuk COVID-19 kepada Kerajaan Malaysia dan/atau agensi berkaitannya.

Mengulas mengenai Cadangan Pelupusan itu, Pengarah Eksekutif Hong Seng dan Pengarah Bio HS, Christopher Chan berkata: "Cadangan Pelupusan itu dilihat sebagai satu langkah positif yang memberikan peluang tepat pada masanya kepada Kumpulan untuk segera membuka kunci dan merealisasikan nilai pelaburan dan aset dalam Pantasniaga.

"Hasil yang diterima daripada pelupusan tersebut boleh diagihkan semula untuk membiayai perniagaan sedia ada kumpulan dan/atau mana-mana perniagaan berpotensi pada masa hadapan. Perniagaan sedia ada Kumpulan termasuk sarung tangan, lateks nitril butadiena, perkhidmatan logistik bersepadu dan perniagaan perkhidmatan kewangan."

Di samping itu, beliau berkata kumpulan boleh menggunakan hasil tersebut untuk mengembangkan perniagaan penjagaan kesihatannya melalui anak-anak syarikat lain dalam menyediakan produk dan perkhidmatan berkaitan penjagaan kesihatan am selepas wabak seperti pemeriksaan genomik dan biokimia serta pengedaran produk penjagaan kesihatan serta farmaseutikal lain.

"Kami berhasrat untuk mendigitalkan industri penjagaan kesihatan tempatan dengan membina ekosistem yang lancar yang boleh mempengaruhi cara perkhidmatan perubatan dijalankan. Kumpulan telah berkembang secara progresif untuk menjadi salah satu pemain paling komprehensif dalam sektor penjagaan kesihatan swasta Malaysia dengan penyelesaian pengurusan rantaian bekalan perubatan hujung ke hujung," katanya.

Beliau menganggap penjagaan kesihatan akan terus menjadi tonggak penting bagi Hong Seng pada tahun-tahun akan datang.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

BURSA 7.420
HONGSENG 0.010

Comments

Login to comment.