Southern Cable sasar tembusi AS

BeritaHarian Mon, Jun 27, 2022 02:38pm - 1 year View Original


KUALA LUMPUR: Pengeluar kabel dan wayar, Southern Cable Group Bhd berhasrat untuk menembusi pasaran Amerika Syarikat (AS) dalam separuh kedua tahun ini selain meraih sumbangan hasil lebih tinggi daripada pasaran luar negara bagi tahun kewangan 2022.

Pengarah Urusannya, Tung Eng Hai, berkata permintaan serantau bagi kabel dan wayar juga kembali meningkat seiring dengan aktiviti ekonomi.

Syarikat itu mencatat pertumbuhan eksport bagi tempoh tiga suku berturut-turut sejak pertengahan 2021 yang mencecah RM7.2 juta pada suku pertama tahun kewangan 2022 berikutan peningkatan jualan kabel dan wayar tenaga ke Myanmar dan Singapura.

Eng Hai berkata, syarikat itu juga sedang menjalankan peringkat akhir pengujian dan penilaian XHHW-2 atau kabel industri politilena silang kalis air dan tahan haba tinggi untuk pelanggan di AS bagi kegunaan bangunan kediaman, komersial dan perindustrian.

"Kami telah menyerahkan produk percubaan kepada pelanggan pada bulan ini. Jika tiada sebarang perkara di luar jangkaan, kami berharap dapat memeterai perjanjian pengedaran dalam separuh kedua tahun kewangan 2022," katanya.

Beliau turut menyifatkan pasaran AS menawarkan potensi pertumbuhan yang besar apabila semakin ramai penggiat memilih untuk mendapatkan sumber daripada Asia Tenggara dan menjadi sebahagian daripada strategi pempelbagaian mereka susulan langkah sekatan pergerakan China membendung COVID-19 serta ketidaktentuan berkaitan perang dagangan.

Malah, Southern Cable juga telah menerima banyak pertanyaan daripada kalangan pengedar AS sejak pertengahan 2020 dan telah mengambil langkah wajar untuk memenuhi keperluan mereka.

"Apabila projek rintis itu selesai, kami akan menjadikannya sebagai langkah permulaan ke arah usaha pengedaran lebih banyak selain dapat menjana sumbangan lebih besar di masa depan," katanya.

-BERNAMA

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

SCGBHD 0.575

Comments

Login to comment.