CC International mula dagangan di Bursa Malaysia

BeritaHarian Tue, Jun 28, 2022 02:37pm - 1 year View Original


KUALA LUMPUR: CC International Bhd mula disenaraikan di Pasaran LEAP, Bursa Malaysia Securities Bhd, hari ini.

Saham penyedia perkhidmatan perniagaan profesional pelbagai disiplin mencatatkan prestasi positif semasa pembukaan urus niaga apabila dibuka pada 27 sen sesaham, premium sebanyak satu sen melebihi harga rujukan 26 sen.

Kira-kira 10,000 saham didagangkan semasa awal dagangan.

Bagi Bursa Malaysia, penyenaraian itu adalah yang ke-16 dan yang ketiga untuk Pasaran LEAP bagi 2022 setakat ini.

Pengerusi Eksekutif CC International, Datuk Dr Chua Hock Hoo, berkata syarikat menumpu untuk membantu pelanggan terutama dari pekan kecil di kawasan luar bandar bagi melaksanakan penyumberan luar aktiviti perakaunan dan pentadbiran melalui perkhidmatan perniagaan global (GBS).

Pihaknya menjangka memperoleh hasil kasar berjumlah RM10.6 juta daripada langkah penyenaraian itu, katanya kepada pemberita selepas majlis penyenaraian CC International di Bursa Malaysia, di sini.

Menurut CC International, sebanyak RM6 juta akan digunakan untuk mendanai pertumbuhan dan pengembangan perniagaan melalui penggabungan dan pengambilalihan, usaha sama, perkongsian strategik dan kerjasama dengan penyedia perkhidmatan profesional lain yang menyediakan perkhidmatan yang sama atau perkhidmatan pelengkap.

RM1 juta lagi akan digunakan sebagai pelaburan untuk perisian dan perkakasan bagi pejabat cawangan baharu serta kakitangan teknologi maklumat tambahan untuk menyokong operasi syarikat, menurut syarikat itu.

CC International menambah, alat teknologi yang digunakannya adalah penting untuk memudahkan perkhidmatan penyumberan luar proses perniagaan yang membolehkan pihaknya memberikan perkhidmatan kepada pelanggan dari mana-mana lokasi.

Oleh itu, RM2.06 juta akan diperuntukkan bagi membiayai modal kerja CC International dan RM1 juta lagi untuk perbelanjaan penyenaraian.

Hock Hoo berkata, dalam melangkah ke hadapan, pihaknya merancang untuk berkembang ke dalam pasaran serantau terutama Australia dan Singapura.

Tawaran CC International adalah termasuk penyumberan luar perkhidmatan perakaunan dan perniagaan, cukai, sekretariat korporat, perundingan perniagaan dan perkhidmatan pengurusan kekayaan.

Syarikat itu menjelaskan, melalui GBS, pihaknya menyasar untuk membolehkan pelanggan menikmati kecekapan operasi dan penjimatan kos sekali gus membolehkan mereka menumpukan aktiviti menjana perolehan dan mempunyai jumlah kakitangan pentadbiran yang lebih kecil untuk mengurus aktiviti perakaunan dan pentadbiran.

Kumpulan pelanggannya terdiri daripada pelanggan korporat seperti perusahaan kecil dan sederhana; syarikat persendirian utama; syarikat senaraian awam; syarikat multinasional, institusi kerajaan, yayasan serta individu.

Setakat ini, CC International mempunyai 13 pejabat di seluruh negara yang terletak di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Johor, Melaka, Perak, Terengganu dan Labuan, memberi perkhidmatan kepada hampir 8,000 pelanggan korporat dan individu.

-BERNAMA

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

BURSA 7.470
CCIB 0.350

Comments

Login to comment.