Kenaikan gaji pengerusi, pengarah FGV tak wajar

BeritaHarian Wed, Jun 29, 2022 11:40am - 1 year View Original


KUALA LUMPUR: Ahli-ahli ekonomi menyatakan kekesalan terhadap kenaikan gaji dan elaun pengerusi serta ahli lembaga pengarah FGV Holdings Bhd.

Mereka berkata, pengerusi dan ahli lembaga pengarah tidak sepatutnya diberikan ganjaran kenaikan besar-besaran yuran dan elaun meskipun harga minyak sawit mentah (MSM) yang tinggi.

Imbuhan yang besar itu tidak wajar apabila mengambil kira kenaikan inflasi dan kesukaran yang dihadapi oleh peneroka FELDA ketika ini, kata mereka.

Penganalisis Ekonomi Putra Business School Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Ahmed Razman Abdul Latif, berkata harga minyak sawit yang tinggi ketika ini bukan disebabkan oleh usaha pengerusi dan ahli lembaga pengarah.

"FGV mencatatkan keuntungan besar baru-baru ini bukan disebabkan oleh pencapaian luar biasa ahli lembaga pengarah, sebaliknya disebabkan oleh faktor luaran. Ahli lembaga pengarah yang sama ada di situ semasa FGV mengalami kerugian dan keuntungan besar diraih baru-baru ini mungkin bersifat sementara kerana harga MSM mula mencatatkan penurunan," katanya kepada New Straits Times (NST).

"Adakah mereka akan mengurangkan imbuhan dan manfaat tahun depan apabila harga MSM menjadi lebih rendah?" persoal Ahmed Razman.

Beliau berkata, walaupun ia dibenarkan secara sah apabila majoriti pemegang saham FGV meluluskannya, imbuhan itu masih tidak mengambil kira kesejahteraan pihak berkepentingan lain seperti pemegang saham minoriti, kakitangan dan peneroka selain sentimen orang ramai.

"Apabila dibandingkan dengan syarikat perladangan lain disenaraikan di Bursa Malaysia, imbuhan dan manfaat itu adalah lebih tinggi berbanding pesaing, walaupun permodalan pasaran FGV lebih rendah," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pemantau Pemegang Saham Minoriti (MSWG), Devanesan Evanson, berkata imbuhan ahli lembaga pengarah mesti berdasarkan kepada petunjuk prestasi utama (KPI).

Beliau berkata, permodalan pasaran syarikat yang setaraf tidak sepatutnya digunakan sebagai kayu ukur untuk memberikan justifikasi terhadap kenaikan imbuhan.

"Permodalan pasaran amat tidak berkait dengan prestasi. Begitu juga, imbuhan tidak sepatutnya berdasarkan keuntungan syarikat. Ini kerana, keuntungan mungkin dihasilkan oleh faktor luar yang tidak dikawal oleh lembaga pengarah," katanya.

Beliau berkata, kenaikan harga MSM mungkin menghasilkan keuntungan, namun ia bukan di bawah kawalan syarikat.

Sehubungan itu, katanya lembaga pengarah tidak sepatutnya menggunakan ia sebagai asas untuk menaikkan imbuhan.

"Serupa juga, lembaga pengarah tidak sepatutnya dihukum apabila harga MSM jatuh, menyebabkan kerugian kepada syarikat. Sebaliknya, imbuhan lembaga pengarah perlu sejajar dengan KPI yang berada dalam kawalan mereka.

"Mereka sepatutnya menilai kecekapan sendiri berbanding syarikat lain dalam sektor sama. Ini adalah pengukur yang sepatutnya digunakan untuk memberikan justifikasi menaikkan imbuhan," katanya.

Profesor Bersekutu Universiti Malaya (UM), Dr Awang Azman Awang Pawi, berkata kenaikan besar itu tidak wajar apabila inflasi sedang dirasai rakyat dan peneroka FELDA khususnya antara paling terjejas.

"FGV dilihat tidak sensitif dengan masalah rakyat. Resolusi ini tidak wajar ketika kerajaan mahu langkah perbelanjaan berhemah. Pengerusi FELDA adalah seorang ahli politik, beliau sepatutnya lebih sensitif dan mengelak kemarahan rakyat yang akan menyebabkan reputasi buruk untuk UMNO, pada ketika parti itu baru sahaja pulih," kata Awang Azman.

Pemegang saham FGV meluluskan 13 resolusi pada mesyuarat agung tahunan (AGM) minggu lalu, dengan antara lain menaikkan yuran tahunan pengerusi bukan eksekutif kepada RM480,000 daripada RM300,000 sebelumnya.

Pengerusi juga akan menerima yuran bulanan RM40,000, meningkat sebanyak RM15,000 sebagai sebahagian struktur yuran baharu yang berkuat kuasa pada 24 Jun.

Pada masa sama, tujuh pengarah bukan eksekutif FGV akan menerima yuran bulanan RM12,500 sehingga AGM akan datang, peningkatan sebanyak RM2,500.

FGV kelmarin menjelaskan bahawa ia pada awal tahun ini melantik satu perunding bebas untuk membuat semakan semula dan menanda aras imbuhan lembaga pengarah.

Lembaga pengarah dinasihatkan oleh perunding itu supaya elaun kereta pengerusi bukan eksekutif, Datuk Dzulkifli Abd Wahab digantikan dengan kereta syarikat.

Katanya, ia tidak mencerminkan norma pasaran dan sektor memandangkan syarikat itu secara amnya tidak mengewangkan penyediaan manfaat kereta syarikat dalam bentuk elaun.

Pengerusi bukan eksekutif pada masa ini menerima wang tunai, yuran pengarah sebanyak RM300,000 setahun atau RM25,000 sebulan dan elaun kereta berjumlah RM180,000 setahun atau RM15,000 sebulan.

"Berdasarkan nasihat itu, lembaga pengarah FGV mencadangkan untuk menyediakan kereta syarikat kepada pengerusi bukan eksekutif dan mengekalkan jumlah tunai yang diberikan kepadanya sebelum ini dengan menukar elaun kereta sebanyak RM180,000 kepada yuran lembaga pengarah.

"Oleh itu, tiada peningkatan dalam jumlah tunai yang diterima oleh pengerusi bukan eksekutif," katanya.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

BURSA 7.460
FGV 1.400

Comments

Login to comment.