Bursa Malaysia ditutup rendah, sentimen lemah

BeritaHarian Wed, Jun 29, 2022 07:44pm - 1 year View Original


KUALA LUMPUR: Saham-saham yang didagangkan di Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini di tengah-tengah sentimen pasaran serantau yang lemah, kata seorang penganalisis.

Pada jam 5 petang, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 0.22 peratus atau 3.26 mata kepada 1,451.48 berbanding 1,454.74 pada penutupan urus niaga Selasa.

Indeks utama itu dibuka pada 1,450.45 pagi ini, merosot 4.29 mata dan berlegar antara 1,445.23 dan 1,459.86 di sepanjang sesi urus niaga.

Pergerakan harga di pasaran secara keseluruhan adalah negatif, menyaksikan kaunter rugi mengatasi untung 461 berbalas 368, manakala 399 kaunter tidak berubah, 1,078 tidak diniagakan dan 89 lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 2.37 bilion unit bernilai RM1.77 bilion daripada 2.28 bilion unit bernilai RM1.61 bilion pada Selasa.

Menurut Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng, FBM KLCI yang menjejaki indeks serantau utama, ditutup kebanyakannya lebih rendah berikutan kegiatan penjualan yang amat ketara di Wall Street semalaman.

Beliau berkata sentimen pasaran bertukar negatif apabila keyakinan pengguna Amerika Syarikat (AS) merosot ke paras terendah dalam tempoh 16 bulan di tengah-tengah peningkatan inflasi yang pesat.

"Bagi bursa tempatan, FBM KLCI bergerak dalam aliran terhad hari ini kerana kekurangan sokongan belian.

"Pelabur mengambil sikap berhati-hati terhadap faktor luaran memandangkan turun naik pasaran serantau dan ketidaktentuan prospek ekonomi global yang semakin meningkat," katanya.

Broker ekuiti dalam talian itu menambah bursa tempatan dijangka kekal berwaspada walaupun kegiatan memburu saham berharga murah mungkin berlaku untuk prospek jangka pendek.

"Oleh itu, kami mengunjurkan FBM KLCI berada dalam jajaran sempit dan berlegar dalam lingkungan 1,440-1,460 untuk baki minggu ini dengan sokongan serta-merta pada 1,430 manakala sokongan pada 1,460," kata Thong.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi Bursa, Press Metal susut 21 sen kepada RM4.65, Sime Darby Plantation turun 10 sen menjadi RM4.43, Public Bank lemah empat sen kepada RM4.42, Petronas Chemicals kerugian 18 sen kepada RM9.07 dan PPB Group berkurangan 40 sen kepada RM15.70.

Sementara itu, Maybank menambah satu sen kepada RM8.65 dan IHH menokok dua sen untuk mencatatkan RM6.50.

Bagi saham aktif, Reach Energy turun setengah sen kepada 5.5 sen, Top Glove meningkat tujuh sen kepada RM1.12, Borneo Oil tidak berubah pada 2.5 sen, Cypark lemah tujuh sen menjadi 38 sen dan Hibiscus Petroleum turun empat sen kepada 99 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas menguncup 26.18 mata menjadi 10,349.67, FBM 70 berkurangan 31.18 mata kepada 12,503.07, Indeks FBM Emas Syariah jatuh 16.49 mata kepada 10,539.25 dan FBMT100 lemah 23.24 mata kepada 10,087.

Bagaimanapun, FBM ACE mengembang 45.23 mata kepada 4,840.09.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 50.99 mata kepada 16,062.87, Indeks Perladangan turun 71.53 mata menjadi 6,971.64 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian lemah 3.28 mata kepada 181.28.

Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 1.52 bilion saham bernilai RM1.55 bilion daripada 1.54 bilion saham bernilai RM1.14 bilion pada Selasa.

Jumlah dagangan waran turun meningkat kepada 463.47 juta unit bernilai RM93.38 juta berbanding 442.16 juta unit bernilai RM103.18 juta semalam.

Sementara itu, jumlah dagangan Pasaran ACE mengukuh kepada 385.71 juta saham bernilai RM96.16 juta berbanding 119.40 juta saham bernilai RM96.16 juta sebelumnya.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 150.09 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (457.18 juta), pembinaan (45.48 juta), teknologi (157.99 juta), SPAC (tiada), perkhidmatan kewangan (47.36 juta), hartanah (91.67 juta), perladangan (27.66 juta), REIT (4.56 juta), dana tertutup (tiada), tenaga (270.16 juta), penjagaan kesihatan (205.09 juta), telekomunikasi dan media (34.27 juta), pengangkutan dan logistik (23.60 juta ) dan utiliti (12.32 juta). – Bernama

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

BORNOIL 0.005
BURSA 7.470
FBMKLCI 1547.570
HIBISCS 2.760
PBBANK 4.150
PPB 15.740
REACH 0.030
SIMEPLT 4.460

Comments

Login to comment.