Country Heights peruntuk RM100 juta pelbagaikan perniagaan

BeritaHarian Thu, Jun 30, 2022 07:45pm - 1 year View Original


KUALA LUMPUR: Country Heights Holdings Bhd (CHHB) memperuntukkan perbelanjaan modal (capex) sebanyak RM100 juta untuk mempelbagaikan dan mengukuhkan segmen perniagaan kesejahteraan, salah satu perniagaannya yang mencatatkan prestasi terbaik semasa pandemik COVID-19.

Pengasas dan pemegang saham utama CHHB, Tan Sri Lee Kim Yew memberitahu pemberita selepas mesyuarat agung tahunan kumpulan itu hari ini bahawa kerajaan Malaysia telah memperjuangkan pelancongan perubatan sebelum penularan COVID-19 dan kumpulan itu telah menunjukkan prestasi yang sangat baik dalam segmen itu semasa pandemik.

Anak syarikat penjagaan kesihatan kumpulan itu, GHHS Healthcare mencatatkan keuntungan RM3.23 juta pada 2021 dengan jumlah perolehan sebanyak RM26.72 juta, katanya.

Kim Yew berkata, wujud potensi besar dalam segmen tersebut dan kumpulan itu menyasarkan untuk mengembangkannya sebanyak tiga atau empat kali ganda lagi.

"Kami mahu menempatkan semula perniagaan kesejahteraan menjadi cabang baharu pelancongan kesihatan, ia sebenarnya adalah pasaran yang lebih besar berbanding pelancongan perubatan," katanya.

Beliau berkata jika seseorang itu mempertimbangkan perniagaan spa, program pemulihan dan estetik, antara produk kesejahteraan teratas dalam segmen kesihatan, ia mempunyai pasaran yang jauh lebih besar kerana pelanggan mungkin memerlukan masa yang lebih lama untuk berehat, katanya.

"Rawatan seperti dalam pelancongan perubatan mungkin mengambil masa satu hingga dua minggu tetapi apabila membabit pelancongan kesejahteraan, ia mungkin mengambil masa berbulan-bulan dan ia adalah sebab kami cuba untuk mempromosikan pelancongan kesejahteraan," katanya.

Mengenai rancangan pengembangan, beliau berkata bahagian kesihatan akan berkembang ke bangunan baharu tahun ini dengan hospital perubatan tradisional Cina (TCM) disasarkan untuk dilancarkan pada separuh kedua dan pusat berpantang ibu selepas bersalin disasarkan ditubuhkan pada 2023.

Mengenai capex RM100 juta, Lee berkata ia akan digunakan untuk meningkatkan peralatan, mempertingkatkan tahap prestasi pekerja dan modal kerja.

Lee berkata dana untuk capex itu adalah hasil daripada terbitan saham, penjualan aset serta usaha sama.

Kumpulan itu mengambil langkah untuk mencairkan saham hartanahnya melalui program jualan CHHB dengan sasaran jualan sebanyak RM300 juta.

"Kami mempunyai aset (tahap tinggi) tetapi daripada segi kecairan, ia tidak banyak hari ini. Mudah tunai adalah satu cabaran selepas pandemik dan ketika fasa pemulihan. Kami menggesa bank supaya meneliti kaedah penilaian mereka apabila membiayai sebuah syarikat.

"Diharapkan ia tidak berdasarkan aliran tunai semata-mata walaupun itu penting tetapi (syarikat) juga mesti dinilai berdasarkan idea perniagaan yang mantap," katanya. – Bernama

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

CHHB 0.245

Comments

Login to comment.