Bursa Malaysia berakhir bercampur-campur minggu ini

BeritaHarian Fri, Jul 01, 2022 09:14pm - 1 year View Original


KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia mencatat prestasi bercampur-campur ketika mengakhiri dagangan minggu ini pada Jumaat, disokong oleh minat belian yang didahului oleh saham telekomunikasi dan pada masa sama menerima impak daripada aktiviti jualan ketara di pasaran serantau, kata penganalisis.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 0.38 peratus atau 5.52 mata untuk ditutup pada 1,449.74 daripada 1,444.22, semalam.

Indeks petunjuk utama yang dibuka susut 2.60 mata kepada 1,441.62, turut bergerak dalam jajaran 1,441.62 hingga 1,452.32 sepanjang sesi dagangan itu.

Sentimen pasaran secara keseluruhannya negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 468 berbanding 297 manakala 388 kaunter lain tidak berubah, 1,076 tidak diniagakan dan sembilan lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 1.49 bilion unit bernilai RM1.15 bilion berbanding 2.26 bilion unit bernilai RM1.97 bilion pada Khamis.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata indeks utama serantau ditutup lebih rendah, didorong oleh petunjuk negatif semalaman Wall Street.

Pelabur juga bimbangkan peningkatan inflasi dan kemungkinan berlakunya kemelesetan ekonomi di Amerika Syarikat (AS) yang akan turut memberi kesan ke atas rantau lain.

"Di peringkat tempatan, FBM KLCI menyaksikan aliran peningkatan kecil dan kami melihat perkembangan itu sukar bertahan lama.

"Kami juga menjangkakan bahawa pasaran tempatan akan berdepan beberapa cabaran dalam persekitaran pasaran serantau yang kian tidak menentu dan sentimen pasaran global yang negatif.

"Berikutan itu, FBM KLCI dijangkakan tidak berubah dalam sekitar paras 1,440-1,460 minggu depan dengan paras sokongan segera pada 1,430 dan rintangan pada 1,460," katanya kepada Bernama.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Digi.com naik 14 sen pada RM3.64, Public Bank untung lima sen kepada RM4.42, CIMB meningkat tujuh sen kepada RM5.03 dan Petronas Chemicals meraih lapan sen kepada RM9.08.

Maybank dan IHH masing-masing naik tiga sen kepada RM8.62 dan RM6.48 manakala Tenaga menambah dua sen kepada RM8.00.

Bagi saham aktif, Yong Tai dan Jade Marvel masing-masing tidak berubah pada sembilan sen dan 91 sen, Hibiscus Petroleum dan Top Glove turun tiga sen kepada 97 sen dan RM1.01, MYEG naik 1.5 sen kepada 89.5 sen manakala Cypark meraih setengah sen kepada 35 sen.

Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas naik 8.62 mata kepada 10,315.88, Indeks FBM Emas Syariah susut 22.98 mata kepada 10,480.98, FBM 70 merosot 89.67 mata kepada 12,403.54, FBM ACE meningkat 33.14 mata kepada 4,784.52 dan Indeks FBMT 100 naik 12.20 mata kepada 10,059.71.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 72.63 mata kepada 16,056.81, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.01 mata pada 181.69 dan Indeks Perladangan meningkat 23.89 mata kepada 6,924.72.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama susut kepada 1.05 bilion saham bernilai RM1.00 bilion daripada 1.41 bilion saham bernilai RM1.74 bilion, semalam.

Bagi waran, jumlah dagangan berkurangan sedikit kepada 172.71 juta unit bernilai RM32.88 juta berbanding 473.03 juta unit bernilai RM104.77 juta, semalam.

Di Pasaran ACE, jumlah dagangan menguncup kepada 303.48 juta saham bernilai RM113.55 juta daripada 378.50 juta saham bernilai RM118.99 juta.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sejumlah 120.91 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmatan perindustrian (320.12 juta), pembinaan (28.65 juta), teknologi (105.58 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (35.58 juta), hartanah (129.43 juta), perladangan (34.83 juta), REIT (4.65 juta), dana/tertutup (sifar), tenaga (116.83 juta), penjagaan kesihatan (66.86 juta), telekomunikasi dan media (25.02 juta), pengangkutan dan logistik (19.65 juta) serta utiliti (7.29 juta).

-BERNAMA

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

BURSA 7.460
CDB 4.210
FBMKLCI 1530.600
HIBISCS 2.540
PBBANK 4.210
YONGTAI 0.250

Comments

Login to comment.