Bursa Malaysia menjunam 19.96 mata

BeritaHarian Wed, Jul 06, 2022 07:23pm - 1 year View Original


KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan Rabu lebih rendah berikutan kemunculan kegiatan pengambilan untung yang begitu ketara membabitkan saham perladangan dan tenaga.

Pada jam 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 19.96 mata atau 1.39 peratus untuk ditutup pada 1,420.85 daripada 1,440.81 hari sebelumnya, sekali gus menyaksikan paras terendahnya sejak 19 Mei 2020.

Indeks penanda aras itu dibuka pada 1,442.57, meningkat 1.76 mata pagi dan seterusnya berlegar antara 1,419.50 dan 1,448.09 di sepanjang hari.

Pergerakan harga di pasaran secara keseluruhan adalah negatif, menyaksikan kaunter rugi mengatasi kaunter untung 717 berbalas 208, manakala 388 kaunter tidak berubah, 910 tidak diniagakan dan tujuh yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 2.16 bilion unit bernilai RM1.63 bilion daripada 1.99 bilion unit bernilai RM1.21 bilion pada Selasa.

Menurut Naib Presiden Penyelidikan Eekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, beliau menjangkakan pelabur terus mengambil sikap berhati-hati memandangkan ketidaktentuan global yang meningkat, walaupun kegiatan memburu saham murah dijangka berlaku.

"Kami berpendapat FBM KLCI akan kekal dalam mod stabil dan berlegar dalam julat 1,420-1,440 untuk baki minggu ini. Dari sudut teknikal, kami melihat sokongan serta-merta pada paras 1,400 manakala rintangan pada 1,460," katanya kepada Bernama.

Prestasi lemah di bursa tempatan juga sejajar dengan kebanyakan pasaran serantau, diheret oleh kemerosotan dalam harga komoditi yang menyebabkan penjualan besar-besaran membabitkan saham tenaga dan bahan.

"Lonjakan jangkitan COVID-19 di China juga menjejaskan sentimen pasaran kerana ia mencetuskan semula kebimbangan mengenai kemungkinan sekatan pergerakan," kata Pak Leng.

Di peringkat serantau, Indeks Straits Times Singapura susut 0.07 peratus kepada 3,102.04, Nikkei 225 Jepun turun 1.20 peratus menjadi 26,107.65 dan Indeks Hang Seng Hong Kong lemah 1.22 peratus kepada 21,586.66.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi Bursa, Maybank menambah satu sen kepada RM8.62, CIMB meningkat lima sen kepada RM5.10, Petronas Gas melonjak lapan sen kepada RM16.40, Public Bank dan IHH Healthcare turun dua sen setiap satu kepada RM4.39 dan RM6.38.

Sementara itu, Petronas Chemicals turut merosot sebanyak 47 sen kepada RM8.65 dan TNB susut lapan sen kepada RM7.94.

Bagi saham aktif, Jade Marvel naik satu sen kepada 91.5 sen, Sapura Energy dan Yong Tai tidak berubah pada 4.5 sen dan 8.5 sen, Velesto susut satu sen menjadi sembilan sen, Hibiscus Petroleum lebih rendah sebanyak 7.5 sen kepada 92.5 sen dan Top Glove turun setengah sen kepada 94 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas menguncup 138.96 mata kepada 10,104.55, Indeks FBM Emas Syariah lemah 217.42 mata menjadi 10,148.71, FBM 70 jatuh 134.29 mata kepada 12,173.27, FBM ACE berkurangan 20.25 mata kepada 4,626.72 dan Indeks FBMT 100 lebih rendah sebanyak 131.56 mata kepada 9,862.44.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 18.42 mata kepada 16,065.76, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian 5.47 mata lebih rendah menjadi 175.48, dan Indeks Perladangan susut 343.59 mata kepada 6,471.79.

Jumlah dagangan Pasaran Utama mengembang kepada 1.42 bilion saham bernilai RM1.47 bilion berbanding 1.07 bilion saham bernilai RM984.74 juta pada Selasa.

Jumlah dagangan waran turut susut kepada 431.29 juta unit bernilai RM77.84 juta daripada 452.94 juta unit bernilai RM94.0 juta semalam.

Sementara itu, jumlah dagangan Pasaran ACE menguncup kepada 304.42 juta saham bernilai RM82.19 juta daripada 466.66 juta saham bernilai RM126.58 juta sebelumnya.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 159.39 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (335.02 juta), pembinaan (55.58 juta), teknologi (134.94 juta), SPAC (tiada), perkhidmatan kewangan (57.10 juta), hartanah (140.08 juta), perladangan (69.81 juta), REITs (3.27 juta), dana tertutup (tiada), tenaga (343.86 juta), penjagaan kesihatan (65.77 juta), telekomunikasi dan media (30.90 juta), pengangkutan dan logistik (16.41 juta ) dan utiliti (8.52 juta).

-BERNAMA

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

BURSA 7.470
FBMKLCI 1547.570
HIBISCS 2.760
IHH 6.120
PBBANK 4.150
PETGAS 18.100
SAPNRG 0.045
YONGTAI 0.250

Comments

Login to comment.