Ringgit naik berbanding baht, rupiah, pound, dolar Singapura

BeritaHarian Tue, Jul 12, 2022 11:14am - 1 year View Original


KUALA LUMPUR: Meskipun ringgit susut berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), namun mata wang tempatan itu secara umumnya lebih kukuh berbanding sebahagian besar mata wang utama dan serantau termasuk baht Thailand, rupiah Indonesia, dolar Singapura dan pound British.

Sejak awal Jun lalu, nilai mata wang tempatan telah mengukuh kira-kira 5.3 peratus berbanding baht Thailand iaitu daripada 7.791 kepada 8.203 bagi setiap ringgit; meningkat hampir 4.0 peratus berbanding rupiah Indonesia iaitu daripada 3,276 kepada 3,406 bagi setiap ringgit; menokok hampir 2.0 peratus berbanding dolar Singapura daripada 0.3116 kepada 0.3176 bagi setiap ringgit serta lebih tinggi 5.25 peratus berbanding pound British daripada 0.18061 kepada 0.19008 bagi setiap ringgit.

Ia menggambarkan mata wang negara-negara berkenaan terjejas lebih teruk susulan pengukuhan dolar AS berbanding ringgit Malaysia.

Ahli Ekonomi MIDF Research, Zafri Zulkeffeli, berkata pengukuhan ringgit berbanding mata wang lain termasuk pound British, dolar Singapura, rupiah Indonesia dan bath Thailand, disokong pengukuhan ekonomi domestik dan kadar inflasi Malaysia yang masih rendah.

"Ringgit dilihat melemah berbanding dolar AS adalah kerana kekuatan dolar itu sendiri. Hal ini didorong langkah agresif bank pusat AS dalam meningkatkan kadar faedah yang dijangka berakhir pada 3.50 peratus, iaitu lebih tinggi berbanding tahun 2019 sebanyak 2.50 peratus.

"Namun begitu, ringgit dilihat lebih kukuh berbanding mata wang lain atas sebab kekuatan domestik ekonomi yang kekal berkembang, kadar inflasi yang lebih rendah, serta kesan positif daripada peningkatan harga komoditi dunia khususnya minyak dan gas serta minyak sawit," katanya kepada BH.

Zafri berkata, kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada Rabu tidka cukup untuk menstabilkan ringgit berbanding memandangkan tahap agresif membabitkan dasar monetari Malaysia dan AS adalah berbeza.

"Langkah AS lebih agresif yang mana menyebabkan dolar AS terus mengukuh. Manakala untuk OPR Malaysia pula, kami jangka berakhir pada 2.50 peratus tahun ini, masih rendah berbanding tahun 2019 iaitu 3.00 peratus.

"Peningkatan OPR lebih berkait dengan prestasi ekonomi tempatan yang semakin berkembang dan pulih daripada kesan krisis pandemik dan ia (kenaikan) saja tidak mampu untuk menstabilkan ringgit berbanding dolar AS," katanya.

Beliau menjelaskan, MIDF Research menjangkakan ringgit akan berakhir pada 4.25 berbanding dolar AS akhir hujung tahun ini.

"Pengukuhan makro dan harga komoditi yang tinggi akan mendorong kepada pengukuhan ringgit," katanya.

Memetik Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, Indeks dolar AS (DXY) yang terus mengukuh kepada 107.13 mata semalam berikutan kenyataan Rizab Persekutuan (Fed) AS yang cenderung untuk menaikkan kadar faedah, 'berehat seketika' dan mencatatkan 107.0 mata pada sesi Jumaat (untuk Asia).

Menurut laporan berita, Pegawai Fed, Christopher Waller dan James Bullard bersetuju bahawa kenaikan 75 mata asas pasti akan berlaku pada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) akan datang dan ini telah membantu menyokong dolar AS.

Bagaimanapun, Penyata Gaji Bukan Ladang (NFP) AS yang akan dikeluarkan lewat malam ini dijangka menunjukkan beberapa tanda kelembapan, susut kepada 268,000 pada bulan Jun daripada 390,000 pada Mei (berdasarkan anggaran konsensus).

"Namun begitu, dolar AS mungkin terus berkisar sekitar RM4.42 berbanding ringgit kerana permintaan untuk dolar AS akan kekal tinggi," katanya.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

BIMB 2.570

Comments

Login to comment.