Sasar 37 IPO tahun ini

HarianMetro Thu, Jul 28, 2022 06:10am - 1 year View Original


BURSA Malaysia Bhd tidak menjangkakan sebarang kelewatan dalam penyenaraian syarikat pada 2022 biarpun dalam persekitaran mengelak risiko yang disebabkan oleh tindakan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) menaikkan kadar faedah selain cabaran luar seperti perang Rusia-Ukraine.

Malah, ia sebaliknya menyasarkan bursa tempatan itu menyaksikan sejumlah 37 tawaran awam permulaan (IPO) pada tahun ini berbanding 30 pada 2021, didorong terutama oleh peningkatan penyenaraian di Pasaran ACE susulan pembukaan semula ekonomi.

"Melainkan satu-satu IPO itu besar dan memerlukan waran tawaran antarabangsa, kami tidak menjangkakan kelewatan ketara dalam penyenaraian syarikat-syarikat kerana terdapat mudah tunai dalam pasaran bagi menyokong penawaran domestik," kata Bursa Malaysia kepada Bernama.

Pengendali bursa itu berkata, bagi tempoh 1 Januari hingga 13 Julai 2022, bursa tempatan itu menyaksikan sejumlah 20 penyenaraian baharu yang melibatkan pengumpulan kira-kira RM2.3 bilion.

"Tambahan modal pasaran yang disumbangkan oleh 20 syarikat disenaraikan itu adalah RM7.3 bilion (sehingga 13 Julai, 2022) manakala cadangan IPO bagi tempoh berbaki tahun ini juga kekal kukuh," katanya.

Mengikut jumlah IPO yang diluluskan dan menunggu penyenaraian serta jumlah draf prospektus pendedahan di kedua-dua laman sesawang Bursa Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), sekurang-kurangnya lima lagi penyenaraian dijangka dilaksanakan menjelang akhir tahun ini.

Kelmarin, UMediC Group Bhd (UMC) mencatat penyenaraian pertamanya yang kukuh apabila disenaraikan di Pasaran ACE pada 50 sen sesaham iaitu premium 56.25 peratus daripada harga IPO sebanyak 32 sen.

Kaunter pengeluar peranti perubatan itu ditutup pada 44 sen yang menyaksikan permodalan pasaran sebanyak RM164.52 juta.

Bagi kemajuan masa depan, Bursa Malaysia optimis bahawa selera pelabur domestik bagi IPO kekal kukuh bagi tempoh berbaki 2022 sebagaimana terbukti menerusi lebihan langganan bagi kebanyakan IPO terbabit.

Menurutnya, perniagaan juga dijangkakan kembali pulih didorong oleh peningkatan permintaan akibat pandemik manakala pembukaan semula sempadan akan menggalakkan lagi aktiviti perbelanjaan.

"Sehubungan itu, kami percaya prospek bagi IPO ini kekal menggalakkan kerana pasaran modal ekuiti ini memberi kemudahan akses dana untuk syarikat bagi tujuan pertumbuhan serta pemulihan daripada impak pandemik Covid-19.

"Kami juga optimis kepelbagaian serta momentum IPO baharu di Bursa Malaysia adalah kekal bagi tempoh sepanjang 2022, terutama dalam bidang utama teknologi, pengguna, penjagaan kesihatan, halal dan/atau alam sekitar, sosial dan perniagaan yang sejajar dengan tadbir urus sosial dan korporat (ESG)," katanya.

Sebagaimana sebahagian besar pasaran sedang membangun lainnya, Malaysia menyaksikan penjualan berterusan dalam pasaran ekuitinya sejak Fed melaksanakan kenaikan kadar faedah kali ketiganya pada Jun tahun ini dengan menaikkan 75 mata asas - kenaikan paling agresif sejak 1984.

Setakat tahun ini, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut sebanyak 6.62 peratus untuk ditutup pada 1,463.69 pada 26 Julai 2022.

Namun, indeks tersebut sudah meningkat daripada paras terendah dalam tempoh dua tahun iaitu 1,408.83 pada 14 Julai, 2022.

Pihak Fed yang dalam usaha menangani peningkatan ketara inflasi di AS, dijangka menaikkan lagi 75 mata asas kepada 2.25 peratus-2.50 peratus pada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) selama dua hari yang berakhir pada Rabu.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

BURSA 7.470
FBMKLCI 1547.570
UMC 0.675

Comments

Login to comment.