Hartalega rancang tutup satu lagi kilang Bestari Jaya

BeritaHarian Wed, Aug 10, 2022 02:41pm - 1 year View Original


KUALA LUMPUR: Hartalega Holdings Bhd bercadang untuk menghentikan operasi satu lagi kilang pembuatan di Bestari Jaya bagi menjimatkan kos.

MIDF Research dalam satu nota penyelidikan berkata, rancangan untuk menghentikan Kilang 3 Bestari Jaya yang mempunyai lapan barisan pengeluaran dan menghasilkan 3.3 bilion unit sarung tangan setahun itu adalah bagi meningkatkan keberkesanan kos.

Ia berkata, Hartalega sebelum ini telah menghentikan Kilang 2 Bestari Jaya bagi tujuan penjimatan kos berikutan jumlah pekerjanya yang ramai.

"Kilang 2 mempunyai lima barisan pengeluaran dan menghasilkan 1.2 bilion sarung tangan setiap tahun," katanya.

MIDF Research berkata, di sebalik rancangan penutupan itu, Hartalega ketika ini juga sedang menyiapkan pembinaan pengembangan empat kilang pembuatan di bawah NGC 1.5 di Sepang.

Katanya, pengurusan Hartalega menekankan bahawa pentauliahan kilang akan dibuat secara berperingkat, tetapi masanya akan bergantung kepada dinamik penawaran dan permintaan dalam pasaran.

"Berdasarkan NGC 1.5 (Sepang), kilang pengeluaran itu akan meningkatkan kapasiti tahunan sebanyak 19 bilion sarung tangan.

"Penyahtauliahan kilang pembuatan dijangka akan mengimbangi pentauliahan pengembangan dua kilang di bawah projek NGC 1.5, yang menghasilkan jumlah kapasiti yang sama," katanya.

Keuntungan bersih Hartalega merosot 96.1 peratus kepada RM88.28 juta pada suku pertama berakhir 30 Jun 2022, daripada RM2.26 bilion dalam tempoh yang sama tahun lepas berikutan peningkatan kos tenaga dan buruh yang disebabkan oleh kenaikan tarif gas asli dan pelaksanaan gaji minimum.

Perolehan turun 78.3 peratus kepada RM845.67 juta berbanding RM3.90 bilion sebelumnya.

Perolehan yang lebih rendah itu terutamanya disebabkan oleh purata harga jualan (ASP) yang kembali normal dan kemerosotan jumlah jualan sebanyak 28 peratus, berbanding suku pertama tahun kewangan 2022 apabila kedua-dua ASP dan permintaan jualan mencatatkan paras tertinggi ketika tempoh pandemik.

Ketua Pegawai Eksekutif Hartalega, Kuan Mun Leong, berkata kesan ASP dan permintaan yang kembali normal dipaparkan dalam keputusan suku pertama syarikat yang turut terkesan dengan persekitaran kos operasi yang lebih tinggi dan peningkatan tekanan inflasi disebabkan oleh kenaikan tarif elektrik dan gas asli, serta dasar gaji minimum baharu yang dilaksanakan pada Mei 2022.

"Di samping itu, persaingan semakin sengit di pasaran berikutan keadaan bekalan berlebihan dalam sektor sarung tangan global," katanya.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

HARTA 2.670

Comments

Login to comment.