KWSP jual 4.32 juta saham Hartalega

BeritaHarian Thu, Aug 11, 2022 03:25pm - 1 year View Original


KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menjual 4.32 juta saham Hartalega Holdings Bhd, menjadikan pegangannya dalam syarikat pengeluar sarung tangan getah jatuh kepada 6.93 peratus.

Dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia, Hartalega berkata pegangan sebanyak 6.93 peratus itu merangkumi 237.52 juta saham dalam syarikat berkenaan.

Sebelum urus niaga terbaharu itu, KWSP memiliki 7.056 peratus kepentingan dalam Hartalega, demikian menurut makluman syarikat itu di Bursa Malaysia pada Selasa lalu.

Keuntungan bersih Hartalega merosot 96.1 peratus kepada RM88.28 juta pada suku pertama berakhir 30 Jun 2022, daripada RM2.26 bilion dalam tempoh yang sama tahun lalu berikutan peningkatan kos tenaga dan buruh yang disebabkan oleh kenaikan tarif gas asli dan pelaksanaan gaji minimum.

Perolehan turun 78.3 peratus kepada RM845.67 juta berbanding RM3.90 bilion sebelumnya.

Perolehan yang lebih rendah itu disebabkan terutamanya oleh purata harga jualan (ASP) yang kembali normal dan kemerosotan jumlah jualan sebanyak 28 peratus, berbanding suku pertama tahun kewangan 2022.

Sektor sarung tangan getah Malaysia menerima manfaat besar daripada penularan COVID-19 yang bermula pada awal 2020.

Permintaan bagi produk itu, sebahagian peralatan perlindungan peribadi penting, melonjak dalam usaha membendung penularan pandemik di seluruh dunia.

Bagaimanapun, permintaan terhadap sarung tangan beransur-ansur menjadi normal apabila kemajuan program vaksinasi global dijangka membolehkan penularan COVID-19 dapat dibendung.

Sentimen sedemikian dicerminkan oleh penurunan harga saham syarikat pengeluar getah utama di Malaysia selain Hartalega termasuk Top Glove Corp Bhd, Supermax Corp Bhd dan Kossan Rubber Industries Bhd.

Saham empat 'gergasi' sarung tangan itu telah jatuh mendadak daripada paras tertinggi yang dicatatkan semasa fasa kritikal penularan COVID-19.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

BURSA 7.460
HARTA 2.750
KOSSAN 1.960
SUPERMX 0.815
TOPGLOV 0.800

Comments

Login to comment.