Peluang PKS tembus pasaran antarabangsa

HarianMetro Fri, Aug 12, 2022 06:39am - 1 year View Original


Kuala Lumpur: SME Bank melalui Program Jaringan SME Bank XCESS 2022 akan membuka peluang baharu kepada usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk menembusi pasaran antarabangsa.

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Aria Putera Ismail berkata program SME Bank XCESS 2022 itu turut melibatkan penyertaan rakan-rakan usahawan dari luar negara seperti Thailand dan Jepun di bawah teras Kerjasama Melangkaui Sempadan.

Katanya, usahawan juga berpeluang menerokai peluang-peluang baharu melalui platform dalam talian ASEAN Access, sebuah portal yang berfungsi sebagai akses untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) ASEAN mendapatkan maklumat mengenai perdagangan dan peluang ke pasaran-pasaran di negara ASEAN.

"Usaha ini adalah untuk membantu usahawan PKS tempatan yang berminat mencari tapak menembusi pasaran antarabangsa. Selain itu, kita juga membuka peluang kepada usahawan-usahawan dari negara luar untuk menembusi pasaran tempatan sama ada secara perkongsian atau persendirian," katanya dalam ucapan alu-aluan di Majlis Perasmian SME Bank XCESS 2022 dan Penerimaan Penyertaan Program Umbrella SME Bank, di sini semalam.

Aria Putera berkata struktur SME Bank XCESS 2022 itu diperkemaskan lagi dengan empat teras tambahan iaitu akses kepada pembiayaan dan program-program pembangunan usahawan serta perkhidmatan menyeluruh yang ditawarkan oleh SME Bank, termasuk Assets Link, Perkhidmatan Takaful dan HalalXcess.

Selain itu katanya, program jaringan tersebut turut memberi ruang kepada usahawan untuk menyertai Program Umbrella SME Bank serta Program Pembangunan Vendor Bumiputera yang diterajui oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

"Pada tahun ini, kami menyasarkan seramai 5,000 pengunjung akan ke portal maya program ini dan daripada jumlah tersebut, seramai 1,000 usahawan akan menyertai program-program yang telah disusun. Usahawan boleh menyertai aktiviti padanan perniagaan, klinik perniagaan, khidmat nasihat dan lawatan reruai syarikat-syarikat 'Anchor' (Induk) secara dalam talian," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Strategi Korporat Kumpulan, Bahagian Strategi Korporat, Datuk Mohammad Hardee Ibrahim berkata SME Bank merancang untuk mencari kawasan baharu seperti Afrika Selatan dan Rusia bagi PKS tempatan meneroka peluang baharu.

"Buat masa ini, kami berjaya menjalin kerjasama dengan dua negara, Thailand dan Jepun dan kami akan membimbing PKS untuk meneroka pasaran antarabangsa dan menyediakan mereka dengan pembinaan kapasiti dan memahami strategi pasaran untuk mereka ke luar negara," katanya.

Sementara itu, SME Bank telah meluluskan 24 pembiayaan bernilai RM11.6 juta melalui Program Umbrella SME Bank yang diperkenalkan pada 2019.

Program Umbrella adalah satu bentuk kerjasama antara SME Bank dan syarikat Anchor untuk membolehkan usahawan menyertai suatu model perniagaan yang telah pun bertapak kukuh dalam pasaran sekali gus mengurangkan risiko gagal dalam perniagaan.

Pada tahun ini, SME Bank menambah dua lagi syarikat Anchor di bawah Program Umbrella SME Bank.

Syarikat Anchor adalah Ramly Food Processing Sdn Bhd, Ayamas Shoppe Sdn Bhd, Chatime Malaysia Sdn Bhd, Bubblebee Sdn Bhd, Bateriku (M) Sdn Bhd, Petro Teguh (M) Sdn Bhd, Prowheels Distributor (M) Sdn Bhd dan Petronas Lubricants Marketing Malaysia Sdn Bhd.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Comments

Login to comment.