Chan Cheong dilantik jadi Ketua Pegawai Strategik baharu Maybank

BeritaHarian Mon, Aug 15, 2022 10:27pm - 1 year View Original


KUALA LUMPUR: Maybank melantik Dr Siew Chan Cheong sebagai Ketua Pegawai Strategik Kumpulan, bermula 15 Ogos 2022.

Beliau akan bertanggungjawab untuk membangun dan melaksanakan strategi kumpulan.

Chan Cheong akan membantu dan melapor kepada Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, selain bekerjasama rapat dengan Lembaga Pengarah dan pasukan kepimpinan.

Beliau juga akan bertanggungjawab untuk meluas dan memperdalam agenda pendigitalan serta memacu perindustrian dan penggunaan analitik di seluruh kumpulan demi mencapai matlamat perniagaan.

Maybank dalam satu kenyataan berkata, Chan Cheong mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam merangka dan melaksanakan strategi transformasi di pelbagai negara merentasi pelbagai industri dan organisasi, termasuk bank-bank utama di Eropah dan Asia.

Ia berkata, sebagai bekas Pengarah Perunding Strategik Kanan dengan Strategy& (sebelum ini dikenali sebagai Booz & Company), beliau telah bekerja dengan pelanggan perbankan British dan Jerman yang besar sebagai sebahagian daripada peranannya di London dan Hong Kong untuk membantu pelanggan mencapai pertumbuhan baharu susulan Krisis Kewangan Global pada 2008.

"Sejak kembali bekerja di Asia Tenggara pada 2014, beliau telah menyokong institusi kewangan terkemuka ASEAN dalam bidang pertumbuhan perniagaan pesat, perkembangan bakat, perbankan digital dan analisis data besar.

"Sebelum ini, beliau telah menyandang jawatan sebagai Ketua Pegawai Strategik & Inovasi Kumpulan di Kumpulan Perbankan RHB," katanya.

Chan Cheong berkelulusan PhD dalam Kejuruteraan dan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian Kelas Pertama) dalam Kejuruteraan dari University of Southampton, United Kingdom (UK).

Beliau juga mempunyai ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari London Business School.

Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Khairussaleh Ramli, berkata pengetahuan luas, kemahiran kepimpinan dan pengalaman antarabangsa Chan Cheong menjadikan beliau calon yang tepat untuk menerajui visi strategik jangka sederhana hingga panjang kumpulan.

"Pemahaman beliau mengenai trend global dan pengalaman luas dalam menangani perubahan digital yang pesat akan membolehkannya memacu pemikiran kreatif dan berhubung di dalam organisasi.

"Ini adalah aspek penting untuk menyokong aspirasi digital Maybank secara berterusan, meneroka pemacu pendapatan baharu dan mendukung inisiatif transformasi strategik demi menjana prestasi yang lebih baik," katanya.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Comments

Login to comment.