IPO PT Resources jana modal RM48.6 juta

BeritaHarian Tue, Aug 30, 2022 03:36pm - 1 year View Original


KUALA LUMPUR: PT Resources Holdings Bhd yang terbabit dalam pemprosesan makanan laut beku menyasarkan untuk mengumpul RM48.6 juta daripada tawaran awam permulaan (IPO) bagi penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia.

Pengarah Urusannya, Heng Chang Hooi, berkata daripada hasil itu, RM17.6 juta akan diperuntukkan untuk membiayai perbelanjaan modal bagi gudang penyimpanan sejuk beku yang baharu.

Beliau berkata, sebanyak RM27.2 juta lagi akan diperuntukkan untuk perbelanjaan modal kerja, khususnya pembelian bahan mentah yang kebanyakannya terdiri daripada makanan laut dan produk daging segar dan sejuk beku, manakala bakinya akan digunakan untuk membiayai penyenaraian.

"Hasil daripada IPO akan membolehkan PT Resources memanfaatkan pasaran makanan laut beku yang semakin berkembang melalui peningkatan dalam kapasiti penyimpanan serta menghasilkan produk berkualiti tinggi bagi memenuhi permintaan pelanggan yang meningkat di pasaran domestik dan antarabangsa," katanya pada majlis pelancaran prospektus IPO syarikat itu, hari ini.

Sementara itu, dalam sidang akhbar Chang Hooi memberitahu gudang penyimpanan sejuk baharu itu akan dibina di Kuantan dan meningkatkan kapasiti penyimpanan PT Resources daripada 700 tan metrik pada masa ini kepada 4,000 tan metrik apabila siap dalam tempoh 36 bulan akan datang.

Beliau berkata, gudang seluas 28,392 kaki persegi yang dibina itu akan mempunyai enam bilik sejuk untuk menyimpan bekalan dan produk makanan laut beku, daging sejuk dan sejuk beku, buah-buahan dan sayur-sayuran pada had suhu yang berbeza, ruang menunggu dan lima ruang pemunggahan/muatan serta bangunan pejabat tiga tingkat.

Katanya, pengedaran produk untuk pasaran luar negara akan meningkat pada masa hadapan kerana syarikat itu juga merancang untuk mengembangkan pasaran antarabangsanya ke lebih banyak negara di Asia Pasifik dan Timur Tengah, terutamanya Emiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar dan Abu Dhabi.

"Berdasarkan prospek positif di Asia Pasifik dan Timur Tengah, kami mendapati banyak peluang untuk mengembangkan kehadiran kami dalam pasaran ini," katanya.

Bagi tahun kewangan 2022, 44.4 peratus daripada jumlah pengeluaran adalah untuk pasaran Malaysia, manakala Arab Saudi (12.2 peratus), China (44.2 peratus) dan lain-lain (0.8 peratus).

Chang Hooi memberitahu, PT Resources merancang untuk membuka tiga cawangan tambahan MO Foodmart menjelang akhir 2023, dengan mengutamakan cawangannya di wilayah Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

Berdasarkan harga terbitan 36 sen sesaham, PT Resources akan memperoleh permodalan pasaran sebanyak RM192.6 juta selepas penyenaraian terbabit.

Permohonan untuk IPO PT Resources dibuka hari ini sehingga 12 September 2022.

-BERNAMA

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

BURSA 7.470
PTRB 0.485

Comments

Login to comment.