Destini nafi diklasifikasi sebagai syarikat PN17

BeritaHarian Mon, Sep 05, 2022 11:25am - 1 year View Original


KUALA LUMPUR: Destini Bhd bukan syarikat Nota Amalan 17 (PN17) dan akan dinyahsenarai daripada Bursa Malaysia seperti dilaporkan media tempatan.

Penyedia penyelesaian kejuruteraan bersepadu itu dalam satu kenyataan mendakwa bahawa laporan media mengenai status kewangan dan penyenaraian kumpulan adalah tidak berasas dan tidak benar.

"Dua laporan media mendakwa Destini adalah syarikat PN17 dan akan dinyahsenarai daripada Bursa Malaysia pada hari ini (semalam) adalah tidak benar dan sebarang pengumuman sedemikian akan diumumkan mengikut Keperluan Penyenaraian Utama Bursa jika perlu," katanya dalam satu kenyataan ringkas, hari ini.

Laporan media beberapa hari lalu mengaitkan kerjasama Destini dengan TH Heavy Engineering Bhd sebagai syarikat usaha sama (JV) dengan syarikat lain bagi pembinaan kapal peronda luar pesisir (OPV) milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dengan kos RM738.9 juta.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa meminta Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menyiasat kelewatan penyerahan kapal OPV bagi mengelak kes dihadapi kapal tempur pesisir (LCS) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berulang.

Beliau mendakwa, mengikut kontrak TH Heavy Engineering, syarikat bersekutu Lembaga Tabung Haji (TH) sepatutnya menyerahkan tiga kapal OPV secara berperingkat mulai 2020 iaitu kapal pertama pada Januari 2020, pertengahan Januari (sebuah lagi) dan sebuah lagi pada penghujung tahun sebagaimana tertakluk dalam kontrak.

Mujahid berkata, syarikat terbabit diberi kontrak pada 2017 dan mempunyai tempoh tiga tahun untuk menyiapkan kapal berkenaan, namun ia gagal diserahkan kepada APMM sehingga kini.

TH Heavy Engineering bekerjasama dengan Destini Sdn Bhd, menerusi peratusan pegangan dalam projek masing-masing 49 peratus dan 51 peratus.

Beliau turut mendakwa Destini sangat rapat dengan kerajaan Barisan Nasional dan berpendapat projek itu membabitkan kepentingan pihak tertentu.

Sebelum ini, media melaporkan, kelewatan penyerahan kapal OPV milik APMM menimbulkan kebimbangan umum kerana projek itu dilihat berdepan masalah serupa seperti LCS.

Kelewatan pembinaan OPV dilaporkan tidak sepatutnya berlaku berikutan TH Heavy Engineering diberi satu tempoh yang lama untuk menyiapkan kapal berkenaan.

Laporan media itu turut memaklumkan, TH Heavy Engineering, yang diklasifikasikan sebagai PN17, kini menanggung kerugian terkumpul RM629.8 juta dan hutang sebanyak RM165 juta, namun memiliki aliran tunai RM27.5 juta untuk membantunya menyiapkan kapal OPV berkenaan.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

7206 0.000
BURSA 7.470
DESTINI 0.030

Comments

Login to comment.