Bursa Malaysia ditutup rendah

BeritaHarian Tue, Sep 06, 2022 06:52pm - 1 year View Original


KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia susut daripada kenaikan sebelumnya untuk ditutup rendah sedikit hari ini pada paras intra hari terendahnya berikutan aktiviti pengambilan untung terutamanya dalam saham perkhidmatan kewangan pada 10 minit terakhir dagangan, kata peniaga.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) berkurangan 1.53 mata atau 0.10 peratus kepada 1,488.27 daripada paras penutup 1,489.80 pada Isnin.

Indeks petunjuk pasaran itu dibuka kukuh naik 2.78 mata kepada 1,492.58 dan bergerak antara paras 1,488.27 dan 1,497.00 sepanjang sesi dagangan.

Bagaimanapun, di keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 470 berbanding 348, manakala 424 kaunter tidak berubah, 1,032 tidak diniagakan dan tujuh yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 2.19 bilion unit bernilai RM1.65 bilion daripada 2.08 bilion unit bernilai RM1.25 bilion sebelumnya.

Meskipun penurunan di pasaran tempatan itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata bursa utama serantau ditutup tinggi selepas China berikrar untuk meningkatkan lagi usaha untuk merangsang ekonominya.

"Sementara itu, dana asing terus mengalir masuk ke rantau ini apabila komoditi, terutamanya minyak mentah dan minyak sawit mentah mencatatkan penurunan beberapa minggu ini, meredakan kebimbangan terhadap inflasi dan menyokong pandangan bahawa bank pusat tidak agresif menaikkan kadar faedah," katanya kepada Bernama.

Di bursa tempatan, beliau berkata, aktiviti membeli saham berharga rendah dijangka muncul memandangkan penilaian murah saham di samping pengaliran masuk dana asing ke rantau ini, justeru kesan riak itu akan memberi prospek positif kepada ekuiti tempatan.

"Oleh itu, kami menjangkakan indeks petunjuk pasaran berada dalam jajaran 1,480-1,500 bagi tempoh berbaki minggu ini," katanya.

Dari segi teknikal, beliau mengunjurkan paras sokongan segera pada 1,470, manakala paras ketahanan pada 1,500.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi Maybank turun empat sen kepada RM8.90, Public Bank susut satu sen kepada RM4.66, CIMB turun dua sen kepada RM5.46, IHH Healthcare jatuh lima sen kepada RM6.15 manakala Petronas Chemicals naik 17 sen kepada RM8.99.

Dalam kalangan kaunter cergas, kedua-dua Metronic dan Sanichi tidak berubah masing-masing pada 7.5 sen dan 2.5 sen, MYEG menokok 2.5 sen kepada 83.5 sen, Jade Marvel susut dua sen kepada 27 sen dan South Malaysia Industries berkurangan 7.5 sen kepada 18 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 15.13 mata kepada 10,568.90, Indeks FBMT 100 menokok 9.51 mata kepada 10,317.54, FBM ACE menambah 40.24 mata kepada 4,800.39, Indeks FBM Emas Syariah melonjak 38.10 mata kepada 10,634.05 dan FBM 70 naik 92.75 mata kepada 12,683.23.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan naik 27.73 mata kepada 7,029.31, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 2.36 mata kepada 183.63, Indeks Tenaga meningkat 20.71 mata kepada 721.44, manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan menyusut 35.93 mata kepada 16,734.89.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.32 bilion saham bernilai RM1.37 bilion daripada 1.13 bilion saham bernilai RM996.74 juta pada Isnin.

Jumlah dagangan waran turun kepada 253.11 juta unit bernilai RM38.21 juta daripada 258.23 juta unit bernilai RM42.74 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE jatuh kepada 612.76 juta saham bernilai RM238.73 juta daripada 694.60 juta saham bernilai RM212.10 juta.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 149.14 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (473.92 juta), pembinaan (43.52 juta), teknologi (164.61 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (43.95 juta), hartanah (138.83 juta), perladangan (16.95 juta), REITs (3.63 juta), dana tertutup (1,000), tenaga (132.29 juta), penjagaan kesihatan (77.85 juta), telekomunikasi dan media (22.68 juta), pengangkutan dan logistik (37.06 juta) dan utiliti (16.31 juta).

-- Bernama

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

BURSA 7.450
FBMKLCI 1544.320
IHH 6.100
PBBANK 4.150
SMI 0.570

Comments

Login to comment.