Raih pasaran lebih besar

HarianMetro Mon, Sep 12, 2022 07:15am - 1 year View Original


FRASER and Neave Holdings Bhd (F&N) merancang memanfaatkan produknya bagi meraih bahagian pasaran yang lebih besar sambil mengembangkan kehadirannya terutama dalam pasaran halal global.

Pengarah hubungan kerajaan dan industri dan hal ehwal halalnya, Datuk Raffiq Ariff berkata, sebagai contoh sos tiram dan kicap jenama Sri Nona, produk itu mempunyai prospek baik untuk dipasarkan terutama di pasaran yang majoritinya penduduk Islam.

"Bahagian bagi pasaran ini masih besar dan kami mahu mengambil peluang merebutnya terutama di rantau Timur Tengah dan Afrika Utara (MENA).

"Ini pasti meningkatkan kehadiran kami dan juga meningkatkan kesedaran jenama kami," katanya pada Pameran Halal Antarabangsa Malaysia edisi ke-18 (Mihas 2022), baru-baru ini.

Ketika ini, katanya F&N mempunyai kehadiran di 88 negara termasuk sebuah pejabat di Dubai.

Sementara itu, Raffiq berkata, kumpulan di peringkat akhir proses membeli ladang tenusu seluas 2,800 hektar.

Katanya, sebaik sahaja janji niaga itu dimuktamadkan, ladang berkenaan membolehkan kumpulan itu beroperasi lebih mampan di samping mengekalkan harga produk rendah bagi pengguna.

"Memandangkan separuh daripada produk kami daripada tenusu, adalah wajar kami meneroka perniagaan ini. Sekarang kami mengimport kebanyakan daripada bahan ramuan kami, ia mahal dan kami rugi dari segi pertukaran asing," katanya.

Katanya, ladang yang besar membolehkan kumpulan itu mengeluarkan makanan haiwan sendiri seperti makanan lembu seterusnya mengurangkan lebih banyak kos import.

Awal tahun ini, dilaporkan F&N membeli ladang tenusu besar di Gemas, Negeri Sembilan, melibatkan pelaburan RM1 bilion.

Selain itu, beliau berkata F&N merancang melakukan lebih banyak pengambilalihan terutama dalam segmen berasaskan makanan susulan pengambilalihan Sri Nona, Cocoaland dan pembelian ladang tenusu.

Bagaimanapun, beliau enggan menjelaskan lebih lanjut mengenai pelan pengambilalihan masa depan.

Sementara itu, Raffiq berkata, kumpulan melihat Mihas sebagai platform bereputasi bagi syarikat Malaysia mempamerkan produk halal terbaik mereka kepada dunia.

"Pasaran halal sangat penting kepada kami dan ia pada asasnya tonggak pertumbuhan kami. Sebagai syarikat berlandaskan syariah, kami melihat segmen makanan dan minuman halal bakal berkembang pesat pada tahun akan datang memandangkan pertambahan populasi penduduk Islam," katanya.

Beliau berkata melihat kedatangan pengunjung sejak dua hari lepas di Mihas 2022, ia sangat memberangsangkan memandangkan Malaysia masih dalam fasa pemulihan daripada pandemik Covid-19.

"Kami sentiasa berharap dapat menghadiri edisi seterusnya Mihas kerana iasebahagian daripada produk penting Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dalam mempromosikan jenama Malaysia ke persada dunia," katanya.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

F&N 29.400

Comments

Login to comment.