Valesto jangka prospek minyak, gas pesat berkembang tahun ini

BeritaHarian Tue, Sep 13, 2022 05:39pm - 1 year View Original


KUALA LUMPUR: Velesto Energy Bhd (Velesto) menjangkakan prospek sektor minyak dan gas (O&G) dalam aktiviti penerokaan dan pengeluaran (E&P) akan terus berkembang tahun ini dan tahun depan susulan peningkatan pelaburan.

Presidennya, Megat Zariman Abdul Rahim, berkata kenaikan harga minyak dunia yang tinggi ketika ini menybabkan banyak syarikat E&P membuat pelaburan yang besar.

"Selain itu, mereka (pelabur) juga tahu terdapat kekurangan bekalan (minyak) di peringkat global menyebabkan banyak pelaburan mula dibuat ke dalam sektor ini.

"Hasilnya menyebabkan aktiviti mula meningkat dan kesannya syarikat dalam sektor perkhidmatan seperti Velesto meraih manfaat daripada situasi sedemikian.

"Dalam kes kami, semua enam pelantar kami sudah beroperasi setakat ini dengan empat di Malaysia, satu di perairan negara dan Thailand dan satu lagi di Vietnam," katanya kepada BH ketika ditemui di ruang pamerannya bersempena persidangan dan pameran minyak, gas dan petrokimia antarabangsa, OGA x MOGSEC & PSC 2022 di sini, hari ini.

Velesto adalah pemilik dan pengendali picu penggerudian 'jack-up' terbesar di Malaysia serta Asia Tenggara.

Selain Malaysia, syarikat mempunyai pengalaman beroperasi di negara-negara Asia Tenggara seperti Indonesia, Vietnam, Filipina dan Thailand dengan trek rekod bekerja dengan syarikat minyak dan gas tempatan serta antarabangsa.

Mengulas lanjut Megat Zariman berkata, trend peningkatan pelaburan di dalam aktiviti E&P itu dilihat untuk terus mampan bagi jangka pertengahan.

Ditanya mengenai rancangan pengembangan, beliau berkata, buat masa ini pihaknya mahu memberi tumpuan kepada penggunaan pelantar, kos syarikat dan memaksimumkan margin.

"Untuk jangka panjang, kami mahu melihat apakah peluang yang ada sebelum dapat membuat keputusan, namun buat masa ini kami mahu memastikan pelantar kami terus beroperasi.

"Pada separuh pertama tahun ini, penggunaan pelantar kami hanya pada tahap 40 peratus sahaja, namun ia dijangkakan meningkat kepada lebih 70 peratus pada separuh kedua ini.

"Ini akan menyumbang kepada pemulihan kedudukan kewangan syarikat untuk separuh kedua tahun ini," katanya.

Velesto mencatatkan kerugian bersih RM43.17 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2022 berbanding keuntungan bersih RM16.27 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Kerugian itu antara lain disumbangkan oleh sumbangan yang lebih rendah daripada segmen penggerudiannya, serta perbelanjaan korporat yang lebih tinggi susulan kerugian pertukaran asing bersih yang lebih tinggi pada suku semasa.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

VELESTO 0.270

Comments

Login to comment.