Harga terkini sawit masih untungkan syarikat perladangan

BeritaHarian Sun, Sep 18, 2022 02:36pm - 1 year View Original


KUALA LUMPUR: Purata harga minyak sawit mentah (MSM) antara RM3,500 hingga RM4,000 satu tan ketika ini masih menguntungkan syarikat perladangan kerana jauh lebih tinggi daripada kos pengeluaran yang dianggarkan antara RM2,000 hingga RM2,500 satu tan.

Penganalisis Kenanga Research, Teh Kian Yeong, berkata sebahagian besar daripada 30 hingga 40 peratus penurunan harga mungkin telah diambil kira oleh syarikat perladangan.

"Perlu diingatkan juga bahawa walaupun harga MSM mungkin berada di bawah paras tertinggi yang dicatatkan sebelum ini, ia tidak bermakna sektor berkaitan berdepan 'bencana' atau mengalami prestasi buruk.

"Ini kerana, walaupun harga MSM pada RM3,500 hingga RM4,000 satu tan, margin operasi dan aliran tunai syarikat perladangan masih baik kerana kos pengeluaran dianggarkan berlegar antara RM2,000 hingga RM2,500 satu tan menuju ke 2023," katanya dalam satu nota penyelidikan.

Kian Yeong berkata, walaupun pendapatan daripada harga MSM yang lebih lemah menunjukkan aliran penurnan, penarafan bagi sektor perladangan mungkin telah melepasi paras terendahnya.

"Sektor minyak sawit adalah sumber unik daripada dua bahan penting yang digunakan. Kira-kira 70 peratus minyak sawit digunakan sebagai makanan, manakala 20 peratus lagi digunakan sebagai biodiesel.

"Oleh yang demikian, selain turun naik pendapatan disebabkan oleh harga MSM, pendapatan jangka panjang (sektor perladangan) akan disokong oleh pendedahan kepada produk guna harian yang penting," katanya.

Beliau menjelaskan, harga kemuncak seperti yang dicatatkan pada suku pertama dan kedua 2022 menurun lebih 30 peratus sejak awal Jun yang menyaksikan pendapatan lebih rendah telah pun dijangka lebih awal.

"Kami berpendapat pelabur telah pun menetapkan harga antara RM3,500 hingga RM4,000 satu tan untuk pendapatan bagi tahun 2023.

"Andaian kami tidak berubah iaitu pada RM4,500 satu tan untuk 2022 dan RM4,000 satu tan pada 2023," katanya.

Kian Yeong berkata, Kenanga Research mengekalkan saranan 'overweight' terhadap sektor perladangan berikutan kualitinya sebagai saham yang bersifat bertahan, di tengah-tengah latar belakang ekonomi global yang tidak menentu.

"Dalam sektor ini, kami menggemari syarikat yang menawarkan pulangan mampan seperti Hap Seng Plantations dan Boustead Plantations. Kami juga menyukai syarikat yang mempunyai keupayaan atau fleksibiliti untung mengembangkan industri huluan.

"Disebabkan ketersediaan tanah yang terhad dan kawal selia diperketatkan, pengembangan huluan hampir mendatar selama beberapa tahun dalam kalangan beberapa syarikat. Kami menggemari Kuala Lumpur Kepong (KLK) dan TSH Resources berikutan prospek pertumbuhan huluan mereka yang lebih baik," katanya.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

BPLANT 1.570
KLK 22.860
TSH 1.130

Comments

Login to comment.