Jualan berterusan, Bursa Malaysia ditutup rendah

BeritaHarian Mon, Sep 19, 2022 06:57pm - 1 year View Original


KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup rendah pada Isnin, dipengaruhi oleh jualan berterusan dalam saham wajaran tinggi, seiring dengan penurunan yang dicatatkan bursa-bursa serantau.

Saham Asia mengambil petunjuk daripada penurunan yang dialami Wall Street pada Jumaat, dalam situasi kebimbangan mengenai prospek ekonomi global dan langkah pengetatan dasar monetari oleh bank-bank pusat di seluruh dunia, kata peniaga.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) yang menjadi penanda aras pasaran susut 15.79 mata kepada 1,451.52 daripada 1,467.31 ketika ditutup pada Khamis minggu lalu.

Indeks utama itu dibuka 7.80 mata lebih rendah kepada 1,459.51 sebelum bergerak di antara 1,446.04 dengan 1,460.91 sepanjang sesi dagangan.

Bagi keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 706 berbanding 217, manakala 349 kaunter tidak berubah, 1,101 kaunter tidak diniagakan dan 17 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 2.19 bilion unit bernilai RM1.76 bilion daripada 2.62 bilion unit bernilai RM2.67 bilion pada Khamis.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti, Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata indeks-indeks serantau utama juga bergerak rendah kerana pelabur berhati-hati jika Rizab Persekutuan Amerika Syarikat dan bank pusat lain mungkin bertindak melampaui sasaran dasar mereka dan ini boleh mencetuskan kemelesetan global.

"Bagi bursa tempatan, kami berpandangan pasaran tempatan akan mengalami beberapa cabaran dalam ketidaktentuan global yang semakin meningkat. Walau bagaimanapun, kami yakin pembelian saham akan berterusan ke atas saham yang mengalami penurunan.

"Oleh itu, kami menjangkakan FBM KLCI didagangkan dalam julat yang lebih luas 1,440 hingga 1,470 bagi minggu ini. Sokongan pada paras 1,470 telah ditembusi dan tahap sokongan seterusnya adalah pada 1,430 diikuti oleh 1,400 manakala paras rintangan pada 1,480," katanya.

Di peringkat rantau, Indeks Hang Seng Hong Kong susut 1.04 peratus kepada 18,565.97; Indeks Straits Times Singapura turun 0.36 peratus kepada 3,256.48; Kospi Korea Selatan kurang 1.14 peratus kepada 2,355.66 dan Indeks SSE Shanghai menguncup 0.35 peratus kepada 3,115.60.

Di peringkat domestik, saham wajaran tinggi Bursa, Maybank dan CIMB Bank masing-masing naik lima sen kepada RM8.63 dan RM5.42; Public Bank susut dua sen kepada RM4.45; Petronas Chemicals kurang tiga sen kepada RM8.59 dan IHH Healthcare kurang 16 sen kepada RM6.16.

Bagi saham aktif, Top Glove susut enam sen kepada 70.5 sen, SNS Network Technology kurang setengah sen kepada 29.5 sen dan Hartalega menguncup 11 sen kepada RM1.49, manakala XOX naik setengah sen kepada dua sen dan Metronic mendatar pada dua sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 113.34 mata kepada 10,361.24; Indeks FBMT 100 kurang 111.20 mata kepada 10,103.45; Indeks FBM Emas Shariah merosot 127.35 mata kepada 10,451.47; FBM 70 turun 143.69 mata kepada 12,583.89 dan FBM ACE menguncup 74.35 mata kepada 4,759.40.

Dari segi sektor, Indeks Tenaga turun 14.14 mata kepada 723.48; Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 121.86 mata kepada 16,369.62; Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian kurang 3.43 mata kepada 178.04 manakala Indeks Perladangan menambah 15.81 mata kepada 6,873.93.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama berkurangan kepada 1.40 bilion saham bernilai RM1.55 bilion daripada 1.73 bilion saham bernilai RM2.35 bilion yang dicatatkan pada Khamis minggu lalu.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 242.78 juta unit bernilai RM29.69 juta daripada 188.30 juta unit bernilai RM27.73 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE merosot kepada 536.45 juta saham bernilai RM184.92 juta daripada 706.18 juta saham bernilai RM293.68 juta.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 187.68 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (382.64 juta), pembinaan (47.59 juta), teknologi (123.78 juta), SPAC (tiada), perkhidmatan kewangan (77.77 juta), hartanah (120.41 juta), perladangan (22.87 juta), REIT (7.86 juta), dana tertutup (6,000), tenaga (153.86 juta), penjagaan kesihatan (190.61 juta), telekomunikasi dan media (20.94 juta), pengangkutan dan logistik (53.02 juta) serta utiliti (15.20 juta).

– Bernama

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

BURSA 7.400
FBMKLCI 1544.760
IHH 6.090
PBBANK 4.160
SNS 0.375
XOX 0.015

Comments

Login to comment.