KKB bakal raih manfaat barisan projek di Sarawak

BeritaHarian Wed, Sep 21, 2022 12:07pm - 1 year View Original


KUALA LUMPUR: Pelaburan strategik Sarawak Economic Development Corporation (SEDC) membuka peluang kepada KKB Engineering Bhd terbabit dalam beberapa projek negeri pada masa akan datang, selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang diperkenalkan oleh kerajaan Sarawak.

Penganalisis RHB Investment Bank Bhd, Adam Mohamed Rahim, berkata sebagai contoh, tujuan Sarawak untuk mengembangkan rantaian nilai hidrogen dapat memanfaatkan KKB berikutan kepakarannya dalam pembikinan keluli yang diperlukan untuk membina loji hidrogen.

Beliau berkata, berikutan prospek memberangsangkan itu, bank pelaburan terbabit membuat saranan 'beli' terhadap saham KKB dengan harga sasaran RM1.85.

"Kami percaya hal ini wajar akibat beberapa bakal pemangkin yang didorong oleh suntikan ekonomi Sarawak yang dianggarkan bernilai RM100 bilion menjelang 2030 yang mampu menyokong projek-projek pada masa hadapan," katanya menerusi satu nota penyelidikan, hari ini.

KKB, menerusi anak syarikatnya, KKB-WCT JV telah disenarai pendek untuk membida projek Jalan Utama Kedua (STR) dan projek Lebuhraya Pesisir Sarawak (SCH) di Sarawak yang membabitkan jumlah anggaran kos bernilai RM11 bilion, dengan tawaran dijangkakan pada awal 2023.

Adam berkata, peluang-peluang lain mungkin datang daripada peruntukan lebih tinggi sebanyak RM4 bilion untuk Program Grid Bekalan Air Sarawak (SWGP) berbanding RM2.8 bilion sebelumnya.

"Kumpulan tidak lagi asing dalam program ini dengan ia berjaya meraih projek di bawah fasa pertama dengan nilai kira-kira RM250 juta.

"Oleh demikian, ia berpeluang besar untuk terbabit dalam fasa kedua SWGP, mungkin pada lewat tahun ini atau tahun depan," katanya.

Sementara itu, Adam berkata perbelanjaan PETRONAS lebih tinggi sepatutnya memacu perniagaan KKB dalam pembikinan logam untuk pelantar minyak dan gas melalui anak syarikatnya, OceanMight,

apabila ia menjadi satu-satunya pembikin berdaftar dengan PETRONAS di Sarawak selain Brooke Dockyard dan Engineering Works Corp.

Tambahan pula, beliau berkata perjanjian antara OceanMight dengan Samsung Engineering akan menjanjikan peluang kerja di luar negara.

Setakat ini, OceanMight telah menerima 14 tawaran kontrak berjumlah RM1 bilion, katanya.

"Kami menasihati pelabur untuk melihat melangkaui tawaran kerja tahun kewangan 2022 yang merosot sejak awal tahun ke sekarang.

"Hal ini demikian kerana kami meramalkan KKB akan berada dalam kedudukan baik untuk menggarap projek-projek dari Sarawak mulai tahun kewangan 2023, dengan dibantu oleh kedudukan tunai bersih kumpulan," katanya.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

KKB 1.750

Comments

Login to comment.