Affin Bank dijangka bayar dividen khas

BeritaHarian Fri, Sep 23, 2022 11:12am - 1 year View Original


KUALA LUMPUR: Affin Bank Bhd mempunyai kapasiti untuk membayar dividen khas 11 sen sesaham daripada hasil penjualan Affin Hwang Asset Management (AHAM), yang bersamaan dengan pulangan tambahan sebanyak lima peratus.

RHB Investment Bank Bhd dalam satu nota penyelidikan berkata, Affin Bank akan memperoleh keuntungan sebanyak RM1 bilion daripada pelupusan AHAM pada suku ketiga 2022.

"Kami difahamkan bahawa sebahagian daripada hasil (pelupusan) akan digunakan untuk meningkatkan peruntukan am dan bagi menyokong pertumbuhan pinjaman sehingga tahun kewangan 2024, dengan baki akan diagihkan sebagai dividen khas," katanya.

Nota penyelidikan itu ditulis bersama oleh penganalisisnya, Nabil Thoo dan Fiona Leong.

Affin Bank mencatatkan pulangan ke atas ekuiti (ROE) sebanyak 5.8 peratus pada separuh pertama 2022, berada di bawah sasaran tujuh peratus yang ditetapkan untuk tahun ini.

RHB Investment berkata, pengurusan Affin Bank akan melihat kepada segmen perbankan enterpris dan komuniti yang mempunya margin lebih tinggi bagi menampung kekurangan ROE itu pada separuh kedua 2022.

Affin Bank juga, katanya akan melancarkan perbankan digital A1addin dan menaik taraf aplikasi perbankan mudah alih pada separuh kedua tahun ini bagi mengukuhkan deposit akaun semasa dan simpanan (CASA).

"Selain itu, pengurusan yakin pemulihan dalam operasi perbankan pelaburan, dan akan berusaha untuk mengurangkan nisbah kos berbanding kepada pendapatan ke paras di bawah 60 peratus," katanya.

RHB Investment menambah, Affin Bank turut mengukuhkan pelan metamoforsis bagi tahun kewangan 2022 hingga 2025, dengan sasaran ROE sebanyak 10 peratus dan kadar pertumbuhan tahunan terkompaun (CAGR) sebanyak 18 peratus menjadi sorotan penting.

"Kami merasakan sasaran ini agak bercita-cita tinggi berikutan persekitaran makroekonomi yang mencabar pada masa hadapan, dan masih menyedari bahawa isu-isu kualiti aset yang mungkin disebabkan oleh pertumbuhan pinjaman yang terlampau agresif.

"Buat masa ini, kami belum membuat sebarang unjuran bagi tahun kewangan 2025," katanya.

RHB Investment Bank menambah baik saranan 'beli' terhadap saham Affin Bank daripada 'neutral', dengan sasaran harga dinaikkan kepada RM2.45 berbanding RM2.25 sebelum ini.

Untuk separuh pertama tahun ini, keuntungan bersih Affin Bank melonjak 55 peratus dari tahun ke tahun kepada RM289.59 juta manakala perolehan susut kepada RM1.11 bilion daripada RM1.12 bilion.

Bank berkenaan mengaitkan keuntungan yang lebih baik kepada pendapatan faedah bersih serta pendapatan perbankan Islam yang lebih tinggi disebabkan oleh pengukuhan dalam pertumbuhan pinjaman dan pembiayaan termasuk elaun kerugian rosot nilai yang lebih rendah.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

AFFIN 2.510

Comments

Login to comment.