BNM terus pantau ringgit

HarianMetro Fri, Sep 23, 2022 02:40pm - 1 year View Original


Kuala Lumpur: Bank Negara Malaysia (BNM) akan terus memantau dengan rapi dan memastikan pasaran kewangan terus teratur dalam keadaan perkembangan luaran yang menyebabkan dolar Amerika Syarikat (AS) terus kukuh berbanding dengan hampir semua mata wang, termasuk ringgit.

Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, nilai dolar AS menjadi kukuh dengan ketara disebabkan oleh dasar monetari di AS yang diperketat secara agresif.

Katanya, keadaan kewangan global yang lebih ketat dan volatiliti lebih ketara dalam pasaran pertukaran asing dijangka tidak menjejaskan pertumbuhan ekonomi Malaysia.

"Malaysia kekal sebagai ekonomi terbuka dan keutamaan dasar pada masa ini adalah untuk menyokong pertumbuhan ekonomi mampan dalam persekitaran harga stabil, serta mengukuhkan lagi asas ekonomi dalam negeri melalui pembaharuan struktur, dan bukannya dengan melaksanakan kawalan modal atau menambat semula ringgit.

"Hal ini akan memberikan sokongan yang lebih berterusan untuk ringgit," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, ekonomi negara sudah berkembang sebanyak 8.9 peratus pada suku kedua dan akan terus didorong oleh keadaan pasaran pekerja yang semakin bertambah baik dan aktiviti pelancongan yang semakin giat.

"Eksport disokong oleh produk dan pasaran negara yang sangat pelbagai. Sistem kewangan domestik mempunyai tahap permodalan yang kukuh dengan mudah tunai yang lebih daripada mencukupi.

"Pengantaraan kewangan juga terus menyokong ekonomi," katanya.

Selain itu, pergerakan ringgit akan terus ditentukan oleh pasaran, serta pasaran pertukaran asing terus berfungsi dan mengantara dengan berkesan, manakala jumlah urus niaga pertukaran asing harian tempatan terus meningkat hingga mencapai purata semasa sebanyak AS$13.3 bilion berbanding dengan AS$11.3 bilion pada 2021 berikutan aliran pertukaran dua hala.

Aktiviti pasaran bon kekal kukuh, disokong mantap oleh pelabur institusi dan institusi kewangan.

Operasi pasaran BNM juga akan memastikan keadaan mudah tunai yang mencukupi dan pasaran kewangan berfungsi dengan teratur.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Comments

Login to comment.