Bursa Malaysia ditutup susut 14.18 mata

BeritaHarian Fri, Sep 23, 2022 06:47pm - 1 year View Original


KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup pada paras terendah dalam dagangan harian dengan tekanan jualan dilihat di keseluruhan pasaran berikutan kebimbangan terhadap prospek ekonomi global di tengah-tengah kenaikan kadar faedah di seluruh dunia, kata seorang peniaga.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 14.18 mata atau 0.99 peratus kepada 1,424.98 daripada paras penutup 1,439.16 pada Khamis.

Indeks petunjuk pasaran itu dibuka rendah turun 0.05 mata kepada 1,439.11, mencecah paras tinggi 1,440.29 pada dagangan awal.

Di keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 540 berbanding 278, manakala 378 kaunter tidak berubah, 1,202 tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung.

Jumlah dagangan turun kepada 1.84 bilion unit bernilai RM1.57 bilion berbanding 2.17 bilion unit bernilai RM1.68 bilion pada Khamis.

Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata indeks utama serantau terus mencatatkan penurunan apabila kenaikan kadar faedah di seluruh dunia terus memberi risiko yang boleh menjejaskan kestabilan pertumbuhan ekonomi serta minat terhadap aset berisiko.

FBM KLCI diniagakan rendah dalam jumlah dagangan kecil apabila para pelabur kelihatan enggan mengambil sebarang langkah berikutan ketiadaan pemangkin belian apabila sentimen pasaran terus tidak menentu di tengah-tengah peningkatan risiko dan kemuarapan pasaran global, katanya.

"Harga komoditi dan minyak mentah yang lemah telah memberi kesan kepada saham berkaitan tenaga dan komoditi, menjejaskan sentimen pasaran.

"Kami memilih untuk terus kekal berhati-hati dalam tempoh terdekat walaupun aktiviti membeli saham berharga rendah dijangka muncul memandangkan FBM KLCI menghampiri paras terlebih jualan. Oleh itu, kami mengunjurkan indeks petunjuk pasaran diniagakan dalam jajaran antara 1,420 hingga 1,450 minggu depan," katanya.

Di peringkat serantau, Nikkei 225 Jepun turun 0.58 peratus kepada 27,153.83, Indeks Hang Seng Hong Kong susut 1.18 peratus kepada 17,933.27 dan Indeks Straits Times Singapura jatuh 0.95 peratus kepada 3,231.95.

Kospi Korea Selatan berkurangan 1.81 peratus kepada 2,290.0 manakala Indeks SSE Shanghai turun 0.66 peratus kepada 3,088.37.

Di bursa tempatan, dalam kalangan saham wajaran tinggi Maybank turun dua sen kepada RM8.69, Public Bank jatuh lima sen kepada RM4.34, Petronas Chemicals susut 15 sen kepada RM8.35 dan IHH Healthcare berkurangan 20 sen kepada RM5.80. CIMB Bank meningkat satu sen kepada RM5.39.

Dalam kalangan kaunter cergas, Top Glove naik dua sen kepada 65 sen, Velesto dan Cypark Resources meningkat setengah sen setiap satu masing-masing kepada 13 sen dan 43 sen, waran TA Win susut setengah sen kepada 1.5 sen manakala Sapura Energy tidak berubah pada empat sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 96.17 mata kepada 10,197.38, FBM 70 susut 122.51 mata kepada 12,431.79, Indeks FBMT 100 jatuh 98.63 mata kepada 9,933.62, Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 120.02 mata kepada 10,238.20 dan FBM ACE turun 52.02 mata kepada 4,766.63.

Mengikut sektor, Indeks Tenaga susut 7.23 mata kepada 712.64, Indeks Perladangan jatuh 79.98 mata kepada 6,764.71, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 65.88 mata kepada 16,268.57 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian berkurangan 2.04 mata kepada 172.20.

Jumlah dagangan Pasaran Utama berjumlah 1.29 bilion saham bernilai RM1.37 bilion berbanding 1.29 bilion saham bernilai RM1.32 bilion pada Khamis.

Jumlah dagangan waran berkurangan kepada 197.29 juta unit bernilai RM29.44 juta daripada 232.67 juta unit bernilai RM34.08 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE jatuh kepada 353.22 juta saham bernilai RM177.11 juta daripada 646.22 juta saham bernilai RM320.02 million juta.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 158.79 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (405.51 juta), pembinaan (39.46 juta), teknologi (114.95 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (67.81 juta), hartanah (74.33 juta), perladangan (16.08 juta), REITs (8.83 juta), dana tertutup (20,000), tenaga (209.22 juta), penjagaan kesihatan (126.61 juta), telekomunikasi dan media (19.22 juta), pengangkutan dan logistik (40.92 juta) dan utiliti (11.23 juta.

– Bernama

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

BURSA 7.450
CYPARK 0.925
FBMKLCI 1541.250
IHH 6.060
PBBANK 4.240
SAPNRG 0.045

Comments

Login to comment.