Duopharma pengedar produk anti gugur rambut halal

BeritaHarian Tue, Sep 27, 2022 04:05pm - 1 year View Original


KUALA LUMPUR: Duopharma Consumer Healthcare Sdn Bhd (Duopharma Consumer Healthcare), anak syarikat milik penuh Duopharma Biotech Bhd (Duopharma Biotech) memeterai perjanjian pengedaran produk dengan syarikat teknologi sel stem Korea Selatan, SCM Lifescience, Inc (SCM Lifescience) untuk mengedarkan rangkaian produk anti keguguran rambut jenama IRORO yang disahkan halal di Malaysia.

IRORO menggunakan teknologi sel stem sebagai bahan aktif untuk mencipta rangkaian produk halal bagi pasaran Malaysia.

Antara produk yang akan diedarkan Duopharma Consumer Healthcare termasuk 'IRORO Nutreatment Anti-Hair Loss Shampoo for Men'; 'IRORO Nutreatment Anti-Hair Loss Shampoo for Women'; 'IRORO Nutreatment Anti-Hair Loss Treatment' dan 'IRORO Nutreatment Anti-Hair Loss Serum'.

Pengarah Urusan Kumpulan Duopharma Biotech, Leonard Ariff Abdul Shatar, berkata perjanjian dengan SCM Lifescience itu membolehkan Duopharma Consumer Healthcare memperluaskan kemasukan syarikat itu ke dalam segmen kosmeseutikal dengan rangkaian IRORO yang disahkan halal dirumus khas untuk Malaysia.

Beliau berkata, berikutan pelaburan Duopharma Biotech sebanyak 2.73 peratus ke dalam SCM Lifescience, pihaknya komited untuk mengoptimumkan penemuan mereka, terutamanya dalam penyelidikan sel stem untuk meningkatkan penawaran produk pengguna.

Ia sekali gus membolehkan syarikat itu mempunyai kelebihan unik dalam pasaran, katanya.

"Kami juga sedang bekerjasama dengan SCM Lifescience untuk membangunkan terapi sel stem dermatitis atopik.

"Melalui pengenalan rangkaian IRORO, kami meletakkan asas untuk segmen produk ini menjelang pelancaran produk yang berpotensi untuk merawat dermatitis atopik," katanya.

Sel stem yang digunakan dalam IRORO akan dapat menggalakkan pertumbuhan rambut serta pembaikan kulit kepala.

Penyelidik mendapati bahawa selepas dua minggu penggunaan, peserta penyelidikan mengalami satu peningkatan dalam kebersihan liang kulit kepala dan tahap kelembapan kulit, tanpa sebarang kerengsaan kulit diperhatikan, penemuan yang telah disahkan oleh institusi klinikal yang diperakui secara nasional di Korea Selatan.

Ketua Pegawai Eksekutif SCM Lifescience, Byong Kwan Son, berkata pihaknya berbesar hati untuk bekerjasama dengan Duopharma Consumer Healthcare dalam membawakan jenama IRORO ke Malaysia.

Beliau berkata, keguguran rambut boleh disebabkan oleh pelbagai faktor termasuk genetik, diet dan faktor persekitaran yang boleh berbeza merentasi pasaran.

Katanya, pihaknya yakin dengan keberkesanan rangkaian IRORO dan teruja melihat jenama itu membantu rakyat Malaysia mengatasi kesan daripada keguguran rambut.

"Kami menjangkakan rangkaian produk ini akan menjadi yang pertama antara produk lain yang dibuat tersedia kepada rakyat Malaysia melalui kerjasama penyelidikan dan pembangunan (R&D) dengan Duopharma Consumer Healthcare," katanya.

Rangkaian produk IRORO boleh didapati oleh pengguna melalui platform e-dagang di Malaysia pada suku pertama 2023.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

DPHARMA 1.180

Comments

Login to comment.