MISC dapat kontrak sewa jangka panjang unit ExxonMobil

BeritaHarian Fri, Sep 30, 2022 04:06pm - 1 year View Original


KUALA LUMPUR: MISC Bhd, menerusi dua anak syarikatnya, Polaris LNG Three Pte Ltd dan Polaris LNG Four Pte Ltd memperoleh kontrak sewa jangka panjang dengan SeaRiver Maritime LLC (SRM), anak syarikat milik penuh ExxonMobil untuk dua lagi pengangkut gas asli cecair (LNG).

Menurut syarikat perkapalan itu, perjanjian berkenaan menjadikan jumlah kontrak MISC dengan SRM kepada empat pengangkut LNG.

Katanya, MISC, melalui kedua-dua anak syarikatnya itu juga, menandatangani perjanjian dengan pembuat kapal yang bereputasi untuk pembinaan kapal pengangkut LNG di Korea Selatan.

"Kapal pengangkut LNG berkapasiti 174,000 meter padu (cbm) ini akan disewa oleh SRM untuk tempoh tetap selama 10 tahun.

"Ia akan dilengkapi dengan teknologi cekap alam seperti enjin X-DF 2.1 dengan Sistem Kawalan Pintar Kitaran Semula Ekzos (iCER) dan Sistem Pelinciran Udara, yang akan menyumbang kepada pengurangan pelepasan gas rumah hijau (GHG).

"Eaglestar Shipmanagement Gas (S) Pte Ltd, penyedia perkhidmatan marin bersepadu global, akan dilantik untuk menyediakan perkhidmatan pengurusan projek semasa fasa pembinaan kapal, dan bertanggungjawab ke atas pengendalian dan pengurusan perkapalan kapal apabila ia dihantar pada 2026," katanya.

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MISC, Datuk Yee Yang Chien, berkata pihaknya amat berasa dihormati dengan kepercayaan berterusan oleh SRM dan pengiktirafan terhadap keupayaan dan kepakaran MISC.

"MISC telah secara konsisten meningkatkan usaha kami dengan mengamalkan amalan inovatif dan bertanggungjawab dalam operasi kami untuk menyokong matlamat penyahkarbonan industri maritim.

"Kepelbagaian teknologi cekap alam yang akan dilaksanakan terhadap pengangkut LNG baharu ini mencerminkan komitmen berterusan kami ke arah mempromosikan industri perkapalan yang lebih hijau dan mampan.

"Industri perkapalan LNG telah berkembang sejajar dengan keutamaan peralihan tenaga global. MISC berbangga untuk memainkan peranan penting untuk menyokong permintaan tenaga lebih bersih yang semakin meningkat, dengan memastikan pengangkutan marin LNG yang selamat, boleh dipercayai dan cekap kepada pelanggan kami di seluruh dunia," katanya.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

MISC 7.900

Comments

Login to comment.