Pelabur asing terus jual saham

BeritaHarian Mon, Oct 03, 2022 01:36pm - 1 year View Original


KUALA LUMPUR: Pelabur asing terus kekal sebagai penjual bersih minggu lepas, sekali gus menandakan minggu keempat berturut-turut aliran keluar bersih dana asing daripada Bursa Malaysia berjumlah RM740.6 juta berbanding pelupusan RM562.6 juta pada minggu sebelumnya.

Menurut MIDF Research, aliran keluar bersih asing dilihat sepanjang minggu, menyaksikan jumlah aliran keluar paling banyak dicatatkan pada Isnin iaitu RM208.7 juta, diikuti Rabu pada RM202.9 juta dan Khamis dengan sejumlah RM149.5 juta.

"Aliran keluar yang direkodkan pada Selasa dan Jumaat masing-masing lebih rendah, masing-masing mencatatkan RM95.0 juta dan RM84.4 juta," katanya dalam laporan aliran dana mingguannya.

Firma penyelidikan itu menambah pelabur antarabangsa telah menjadi pembeli bersih selama 24 daripada 39 minggu 2022, dengan jumlah aliran masuk bersih sebanyak RM6.62 bilion.

Sebaliknya, institusi tempatan adalah pembeli bersih pada setiap hari dagangan minggu lepas, merekodkan aliran masuk paling banyak pada Isnin sejumlah RM224.1 juta, dan kemudiannya menyederhana kepada RM36.6 juta pada Selasa sebelum meningkat kembali kepada RM177.3 juta pada hari Rabu.

"Aliran masuk bernilai RM126.9 juta dan RM104.3 juta masing-masing dicatatkan pada Khamis dan Jumaat. Secara kumulatif, institusi tempatan membeli ekuiti bernilai sehingga RM669.2 juta minggu lepas," katanya.

Peruncit tempatan kekal sebagai pembeli bersih untuk minggu ketiga berturut-turut, dengan jumlah aliran masuk mingguan sebanyak RM71.4 juta.

"Mereka memulakan minggu urus niaga berkenaan dengan jualan bersih RM15.3 juta, sebelum beralih menjadi pembeli bersih bermula Selasa hingga Khamis dengan jumlah RM58.4 juta, RM25.6 juta, dan RM22.6 juta.

"Mereka kemudiannya menjual bersih sejumlah RM19.9 juta pada akhir minggu urus niaga minggu lalu," tambahnya.

Institusi tempatan adalah penjual bersih selama 30 daripada 39 minggu, dengan jumlah aliran keluar bersih sebanyak RM8.89 bilion, manakala peruncit tempatan telah menjadi pembeli bersih selama 26 daripada 39 minggu 2022 dengan belian bersih sebanyak RM2.27 bilion, kata MIDF .

Dari segi penyertaan, terdapat peningkatan dalam purata nilai dagangan harian (ADTV) merentas semua kelas pelabur dengan 8.3 peratus untuk pelabur runcit, 15.7 peratus untuk pelabur institusi dan 20.6 peratus untuk pelabur asing.

– Bernama

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

BURSA 7.450

Comments

Login to comment.