NCCIM mahukan pendekatan lebih cekap bagi kelulusan

HarianMetro Tue, Oct 04, 2022 07:01am - 1 year View Original


Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) mahukan supaya ada perasaan yang "lebih mendesak dan sensitif untuk keperluan perniagaan" dengan pendekatan yang lebih cekap, selaras dan mudah bagi meluluskan pengambilan pekerja asing.

Dalam satu kenyataan, Presidennya Tan Sri Soh Thian Lai berkata, semua proses perlu dijalankan secara dalam talian melalui satu sistem untuk meningkatkan kecekapan dan memendekkan masa menunggu antara setiap proses supaya mobilisasi pekerja dapat disegerakan.

"Secara khususnya, komuniti perniagaan berharap cara yang mudah yang diselaraskan daripada semua agensi kerajaan khususnya Jabatan Imigresen supaya mereka menempatkan lebih ramai pegawai yang meluluskan bilangan permohonan mendapatkan pekerja asing yang lebih ramai ke negeri-negeri pada masa ini," katanya.

Katanya, walaupun proses temu duga kini lebih teratur dan cekap, halangan selanjutnya dalam proses pengambilan sekarang ialah tempoh yang panjang untuk kelulusan visa oleh Jabatan Imigresen, yang boleh mengambil masa hampir enam minggu khususnya di Lembah Klang.

"Majikan tidak faham mengapa ia mengambil masa yang lama sedangkan kebanyakan maklumat sudah ada dalam sistem. Tahap perkhidmatan di Jabatan Imigresen tidak selari dengan keperluan mendesak dalam perniagaan," katanya.

Kenyataan itu berkata, pusat sehenti Kementerian Sumber Manusia (KSM) sudah meluluskan hampir 510,000 permohonan untuk pekerja asing dengan levi diselesaikan hampir 437,000.

Bagaimanapun, hanya kira-kira 76,000 pekerja atau 17 peratus daripada kuota yang dibayar levi sudah tiba di Malaysia setakat minggu lepas.

Angka itu, dengan levi yang dibayar oleh majikan lebih RM742 juta agak membimbangkan dan mengecewakan kerana komuniti perniagaan amat memerlukan pekerja untuk menyokong operasi mereka dan membantu menghadapi persekitaran semasa yang mencabar, katanya.

Beliau juga berkata, jumlah penerbangan yang tidak mencukupi menghalang ketibaan lebih ramai pekerja dan mahukan pihak berkuasa penerbangan meningkatkan kekerapan penerbangan daripada destinasi tertentu. - Bernama

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Comments

Login to comment.