TNB, Prasarana jalin kerjasama

HarianMetro Tue, Oct 04, 2022 07:01am - 1 year View Original


TENAGA Nasional Bhd (TNB) sudah menjalin kerjasama strategik dengan Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) bagi membekalkan bekalan elektrik bervoltan tinggi kepada tiga stesen suis utama di sepanjang Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Shah Alam.

Dalam kenyataan bersama, kedua-dua syarikat berkata kerjasama itu akan bermula pada akhir 2022.

Menurut kenyataan itu, LRT Laluan Shah Alam yang dahulunya dikenali sebagai LRT3 dijangka beroperasi serta dibuka kepada orang ramai menjelang 2025.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TNB Datuk Baharin Din berkata, syarikat utiliti itu bersedia memberi kerjasama kepada Prasarana dalam membangunkan lagi industri pengangkutan di Malaysia, terutamanya dari segi menyediakan bekalan elektrik berdaya harap dan stabil kepada bekalan rel sepanjang LRT Laluan Shah Alam

"TNB beriltizam untuk menyegerakan peralihan tenaga yang merangkumi usaha meningkatkan nilai perusahaan portfolio penjanaan, memperluas fokus pasaran untuk mengembangkan portfolio tenaga boleh baharu, pelaburan untuk grid masa depan dan pembangunan ekosistem kenderaan elektrik," katanya.

Sementara itu, Presiden dan CEO Kumpulan Prasarana Mohd Azharuddin Mat Sah berkata, kepakaran dan kemampuan TNB untuk menyalurkan bekalan elektrik yang berdaya harap amat kritikal dalam memastikan Prasarana mampu melaksanakan mandat pengangkutan awam organisasi itu.

"Projek LRT Laluan Shah Alam menjadi sebahagian daripada Pelan Bersepadu Pengangkutan Awam untuk Greater Klang Valley dan Prasarana diberi mandat untuk memberi kemudahan dan mengetengahkan serta menerapkan sistem pengangkutan awam darat yang terancang, selamat, responsif, efisien dan mampan," katanya.

Majlis Penyerahan Perjanjian Pembekalan Elektrik diadakan pada bulan lepas.

Menurut kenyataan itu, jajaran LRT Laluan Shah Alam sepanjang 37.8 kilometer (km) menyasarkan jaringan perhubungan dua juta penduduk di Koridor Barat Lembah Klang iaitu dari Bandar Utama ke Johan Setia, Klang melalui tiga kawasan pihak berkuasa tempatan iaitu Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Majlis Bandaraya Shah Alam dan Majlis Perbandaran Klang.

Sebanyak 20 stesen termasuk dua stesen integrasi MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang di Bandar Utama serta stesen integrasi LRT Kelana Jaya di Stesen Glenmarie 2 merangkumi jajaran itu, katanya.

Selain itu, menurut kedua-dua pihak, projek itu berjaya mewujudkan peluang pekerjaan sepenuh masa kepada lebih 5,900 pekerja.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

TENAGA 11.620

Comments

Login to comment.