Southern Cable sasar jualan RM100 juta kabel, wayar ke AS

BeritaHarian Tue, Oct 11, 2022 03:07pm - 1 year View Original


KUALA LUMPUR: Southern Cable Group Bhd menyasarkan jualan kabel dan wayar bernilai RM100 juta ke Amerika Syarikat (AS) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023, selepas bakal memulakan penghantaran ke negara berkenaan pada suku keempat tahun ini.

Pengeluar kabel dan wayar itu dalam satu kenyataan, berkata ia melihat permintaan positif untuk tahun kewangan 2023 disokong oleh perjanjian pengedaran masa depan daripada pelanggannya yang berpangkalan di AS, berikutan kejayaan tempahan percubaan baru-baru ini.

"Southern Cable memperoleh persijilan UL bagi kabel industri kalis haba dan air yang memperakui pematuhan kepada keperluan industri AS. Ia membolehkan kumpulan meningkatkan asas pelanggan di AS," katanya.

Southern Cable berkata, penyelidikan pasaran Global Market Insights menunjukkan saiz pasaran kabel dan wayar Amerika Utara melebihi AS$27 bilion (RM125.49 bilion) pada 2020, dan diunjurkan berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sebanyak 6.0 peratus dari 2021 dan 2027 untuk mencecah nilai pasaran AS$44.5 bilion (RM206.82 bilion).

Bagi pasaran Malaysia, nilai pasaran bagi kabel dan wayar tempatan bernilai RM10.3 bilion pada 2019.

Pengarah Urusan Southern Cable, Tung Eng Hai, berkata kemasukan ke pasaran asing yang jauh lebih besar daripada jangkauan domestik meningkatkan potensi pasaran syarikat dan meningkatkan reputasinya bagi menghasilkan kabel dan wayar bertaraf dunia.

"Kami dalam proses merancang kapasiti pengeluaran untuk memenuhi jangkaan pesanan lebih besar ke AS tahun depan dan yakin dapat mengembangkan asas pelanggan, memanfaatkan daya saing dan kualiti produk.

"Kami berupaya untuk menghasilkan kabel dan wayar untuk sektor yang lebih luas termasuk pengagihan kuasa, pembinaan, telekomunikasi serta minyak dan gas.

"Dalam usaha untuk menyasarkan lebih banyak peluang eksport ke AS, kami akan terus membangunkan lebih banyak produk dan memperoleh pensijilan untuk memenuhi keperluan industri yang lebih luas," katanya.

Southern Cable memiliki tempahan terkini lebih RM800 juta untuk dipenuhi membabitkan pelanggan Malaysia dan luar negara sehingga 2024.

Tempahan dalam tangan termasuk kontrak bekalan kabel kuasa bawah tanah bernilai RM294 juta yang diperoleh daripada Tenaga Nasional Bhd (TNB), dan pesanan pembelian bernilai RM12 juta daripada pelanggannya yang berpangkalan di AS.

Sementara itu, pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) kumpulan semalam, pemegang saham meluluskan terbitan bonus waran berdasarkan satu waran bagi setiap dua saham biasa Southern Cable.

Terbitan itu terdiri daripada 400 juta waran lima tahun dengan pilihan bagi pemegang waran untuk melaksanakan satu waran bagi melanggan satu saham biasa Southern Cable yang baharu.

Pada harga rujukan 28 sen bagi setiap waran dan dengan jangkaan pelaksanaan penuh waran sebelum matang, Southern Cable menyasarkan untuk mengumpul RM112.2 juta dalam hasil kasar untuk tujuan modal kerja.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

SCGBHD 0.575
TENAGA 11.600

Comments

Login to comment.