Bursa Malaysia rendah di awal dagangan

BeritaHarian Mon, Nov 14, 2022 10:50am - 1 year View Original


KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia diniagakan rendah pada sesi awal dagangan hari Isnin, mengetepikan keputusan cemerlang keluaran dalam negara kasar (KDNK) suku ketiga.

Ia berikutan pelabur mengambil sikap yang lebih berhati-hati menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) minggu ini, kata seorang penganalisis.

Pada 9.05 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 3.15 mata kepada 1,465.06 daripada 1,468.21 pada penutup Jumaat.

Bagaimanapun, indeks utama dibuka tinggi 0.78 mata pada 1,468.99.

Pergerakan harga di pasaran menyaksikan kaunter untung mengatasi kaunter rugi 150 berbalas 114, manakala 248 kaunter tidak berubah, 1,813 tidak diniagakan dan 13 yang lain digantung.

Jumlah dagangan adalah sebanyak 114.81 juta unit bernilai RM39.16 juta.

Pada Jumaat lepas, indeks utama itu meningkat 1.27 peratus atau 18.47 mata kepada 1,468.21, didorong oleh pengumuman data ekonomi yang positif, menyaksikan ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 14.2 peratus.

Menurut Kenanga Research, pelabur akan menantikan keputusan PRU15 Sabtu ini sebelum membuat langkah seterusnya di bursa tempatan.

Ia berpendapat tatkala negara menghampiri hari pengundian Sabtu ini, pelabur mungkin akan menjauhi pasaran buat seketika.

Bagi saham wajaran tinggi Bursa Malaysia - kedua-dua Maybank dan Petronas Chemicals tidak berubah, masing-masing mencatatkan harga RM8.60 dan RM8.73, Public Bank turun dua sen kepada RM4.43, manakala CIMB dan IHH Healthcare susut tiga sen setiap satu kepada RM5.49 dan RM5.97.

Antara saham aktif pula, Advance Synergy dan Ta Win Holdings merosot setengah sen setiap satu masing-masing menjadi 13 sen dan lapan sen, Lambo Group turun 1.5 sen kepada empat sen, manakala Techna-X meningkat satu sen kepada 3.5 sen dan Jade Marvel menambah setengah sen menjadi 28.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas Syariah susut 8.20 mata kepada 10,521.38, Indeks FBM Emas lemah 10.17 mata kepada 10,406.73 dan Indeks FBMT 100 kerugian 12.10 mata kepada 10,139.49.

Bagaimanapun, FBM 70 mengembang 24.32 mata kepada 12,396.34 dan FBM ACE menambah 4.60 mata kepada 5,097.91.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan lemah 28.50 mata kepada 16,324.73 sementara Indeks Perladangan 37.28 mata lebih rendah menjadi 6,865.45.

Indeks Tenaga bagaimanapun mengukuh 3.42 mata kepada 727.74 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.50 mata kepada 179.90.

– Bernama

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

ASB 0.105
BURSA 7.450
FBMKLCI 1544.320
IHH 6.100
LAMBO 0.030
PBBANK 4.160
TAWIN 0.030
TECHNAX 0.015

Comments

Login to comment.