Untung bersih Pecca naik 140.7 peratus

BeritaHarian Wed, Nov 23, 2022 06:01pm - 1 year View Original


KUALA LUMPUR: Pengeluar upholsteri automotif Pecca Group Bhd (Pecca) mencatat keuntungan bersih suku pertama yang terbaik dalam tempoh Julai hingga September 2022, didorong segmen sarung kusyen duduk kereta upholsteri OEM yang mana jualan melonjak hampir empat kali ganda.

Pecca, yang turut menikmati margin keuntungan bersih dua angka yang kukuh iaitu sebanyak 15.2 peratus pada suku pertama tahun kewangan 2023 (1STK23) dan menjangkakan momentum pertumbuhannya akan berterusan pada suku akan datang.

Syarikat itu dalam satu kenyataan berkata, dengan pelanggan automotif utamanya termasuk Perodua, Proton, Nissan, Toyota, Peugeot dan Volkswagen mencatat tempahan jualan kereta yang mantap, Pecca akan kekal sebagai penerima manfaat utama permintaan yang kukuh itu.

"Dalam 1STK23, keuntungan bersih Kumpulan melonjak lebih 16 kali ganda kepada RM8.35 juta berbanding RM503,000 pada suku yang sama tahun sebelumnya. Hasil juga meningkat sebanyak 140.7 peratus tahun ke tahun kepada RM54.86 juta pada suku pertama.

"Peningkatan yang memberangsangkan dalam hasil dan keuntungan disumbangkan terutamanya oleh volum jualan yang lebih tinggi yang telah dicapai dalam segmen Automotif berbanding tempoh operasi yang dipendekkan dalam suku yang sama tahun lalu berikutan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0.

"Segmen sarung kusyen kereta upholsteri OEM, yang menyumbang kira-kira 84 peratus daripada jumlah hasil untuk sarung kerusi kereta, menyaksikan hasilnya meningkat kepada RM37.3 juta pada 1STK23 berbanding RM9.35 juta setahun sebelumnya," kata kenyataan itu.

Dari segi pasaran geografi, katanya, pasaran Pecca di Malaysia mencatatkan pertumbuhan besar selepas jualannya meningkat lebih dua kali ganda kepada RM52.54 juta, menyumbang hampir 96 peratus daripada hasil keseluruhan Kumpulan.

Ketua Pegawai Eksekutif Pecca, Foo Ken Nee, berkata walaupun terdapat kebimbangan mengenai kelembapan ekonomi, pihaknya terus mencatat prestasi cemerlang dalam tempoh Julai-September 2022.

"Melangkah ke hadapan, Pecca akan terus membina strategi '4 Tonggak' untuk pertumbuhan perniagaan yang lebih mapan," katanya.

Di bawah Tonggak 1 atau perniagaan OEM, Pecca menyasarkan untuk meraih pesanan tambahan untuk model baharu daripada pelanggan sedia ada.

Ia juga akan memperbesarkan jualan OEM dengan memberi tumpuan kepada penyetempatan jenama mewah, dengan kerjasama dengan Malaysia Automotive Robotics dan IoT Institute (MARii).

Di bawah Tonggak 2 atau segmen Penggantian dan Penyelenggaraan (REM), Pecca berhasrat untuk mengembangkan lagi kehadiran di luar negara ke AS, Australia, New Zealand, Timur Tengah, Singapura dan Eropah. Bagi pengembangan tempatan, kami sedang melihat untuk menubuhkan kedai peruncitan.

Bagi segmen Penerbangan (Tonggak 3), Kumpulan menyasarkan untuk menyediakan bahagian upholsteri dan pengubahsuaian untuk kedua-dua pesawat komersial berdaftar domestik dan luar negara.

"Kumpulan kini sedang berusaha untuk mendapatkan pensijilan daripada Agensi Keselamatan Penerbangan Eropah (EASA) untuk perkhidmatan dan proses ini sepatutnya diselesaikan pada separuh pertama TK2023," katanya.

Akhir sekali, di bawah Tonggak 4, Pecca sedang meneroka peluang perniagaan baharu, termasuk dalam segmen Kenderaan Elektrik (EV).

"Tonggak 4 akan menjadi kunci dalam meningkatkan Pecca ke peringkat pertumbuhan seterusnya."

"Sebagai sebahagian daripada inisiatif Tonggak 4, Pecca sedang berusaha ke arah mengubah syarikat menjadi pemain Tahap-1 yang mengeluarkan keseluruhan tempat duduk, bukannya hanya penutup," katanya.

Syarikat itu juga sedang mengembangkan kapasiti pengeluarannya kepada kira-kira 40,000 tempat duduk sebulan menjelang akhir 2023, berbanding 20,000 hingga 22,000 tempat duduk pada masa ini, selepas kemudahan pembuatan keduanya di Serendah siap.

Pada 31 Oktober 2022, Pecca juga mengumumkan bahawa ia akan membuat penampilan pertama secara fizikal ke Indonesia, yang merupakan salah satu pasaran automotif terbesar di Asia Tenggara.

Kumpulan itu memperoleh 80% kepentingan dalam PT Gemilang Maju Kencana, sebuah syarikat yang dikaitkan dengan Kumpulan Syarikat MPI Indonesia. Pemerolehan ini akan meningkatkan lagi jualan masa depan Pecca dan mempelbagaikan pasaran operasinya.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

PECCA 1.310

Comments

Login to comment.