FGV berdepan risiko kemungkinan digantung urus niaga saham

BeritaHarian Thu, Dec 01, 2022 02:45pm - 1 year View Original


KUALA LUMPUR: FGV Holdings Bhd (FGV) berdepan risiko kemungkinan digantung urus niaga oleh Bursa Malaysia jika tebaran pegangan saham awam syarikat perladangan itu yang rendah tidak diselesaikan, demikian kata penganalisis.

AmInvestment Bank dalam nota penyelidikannya berkata, pegangan saham awam FGV berada pada paras 13.1 peratus setakat 21 November lalu.

Bagaimanapun, katanya, Bursa Malaysia belum mengumumkan sama ada akan memberi lebih banyak masa untuk FGV menyelesaikan tebaran pegangan saham awamnya.

"Tarikh akhir sebelum ini ialah 3 Ogos. FGV mengatakan bahawa ia telah melantik penasihat untuk menasihati pelbagai pilihan bagi menangani ketidakpatuhan keperluan sebaran pegangan saham awam," katanya.

Bursa Malysia sebelum ini berkata bagi syarikat yang mempunyai permodalan pasaran sekurang-kurangnya RM1 bilion tetapi kurang daripada RM3 bilion, tebaran pegangan saham awam yang lebih rendah minimum yang boleh diterima ialah 20 peratus.

Sementara itu, bagi syarikat yang mempunyai permodalan pasaran RM3 bilion dan ke atas, tebaran pegangan saham awam rendah minimum yang boleh diterima ialah 15 peratus.

AmInvestment Bank mengekalkan saranan 'JUAL' pada saham FGV dengan nilai wajar kekal tidak berubah pada RM1.35 sesaham.

Ia mengekalkan jangkaannya terhadap FGV memandangkan untung bersih teras syarikat perladangan itu dalam tempoh sembilan bulan tahun kewangan 2022 masih dalam unjurannya, tetapi 23 peratus di bawah anggaran konsensus.

Untung bersih teras FGV meningkat 68 peratus kepada RM785 juta dalam tempoh sembilan bulan tahun kewangan 2022 berikutan harga produk sawit yang kukuh.

Sementara pengeluaran buah tandan segar (BTS) FGV pula mencatatkan kemerosotan dengan susut sebanyak dua peratus.

Purata harga minyak sawit mentah (MSM) yang direalisasikan meningkat kepada RM4,989 satu tan dalam tempoh dikaji berbanding RM3,475 satu tan dalam tempoh sama 2021.

Kenaikan harga MSM mengimbangi kos pengeluaran yang lebih tinggi dalam tempoh itu, yang mana kos pengeluaran FGV (tidak termasuk susut nilai dan bayaran pajakan tanah) meningkat kepada RM2,174 satu tan dalam sembilan bulan tahun kewangan 2022 berikutan kos upah dan baja yang lebih tinggi.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

BURSA 7.470
FGV 1.370

Comments

Login to comment.