Pendapatan KMI Healthcare naik 38 peratus

BeritaHarian Sun, Dec 04, 2022 10:22am - 1 year View Original


KUALA LUMPUR: Anak syarikat TDM Bhd, Kumpulan Medic Iman Sdn Bhd (KMI Healthcare) mencatatkan pendapatan sebanyak RM78.1 juta pada suku ketiga 2022, menyaksikan peningkatan 38 peratus berbanding RM56.4 juta bagi tempoh sama pada tahun sebelumnya.

Ketua Pegawai Eksekutif KMI Healthcare, Dr Rayney Azmi Ali, berkata pelbagai faktor turut menyumbang kepada rekod berkenaan antaranya peningkatan penggunaan katil dan pemilikan insurans oleh masyarakat.

"Ini satu pencapaian untuk Healthcare (bahagian penjagaan kesihatan) apabila berjaya merekodkan pendapatan sedemikian yang mana jika dilihat antara puncanya ialah penambahan pesakit luar dan dalam selain penggunaan katil sehingga 60 peratus pada suku ketiga," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Jubli Perak 25 Tahun KMI Kuantan Medical Centre (KMI Kuantan) dan Penganugerahan Akreditasi Persatuan Kualiti Kesihatan Malaysia (MSQH) di sini, semalam.

Majlis turut dihadiri Pengerusi TDM, Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil.

Dr Rayney juga memaklumkan pembinaan hospital baharu di Kemaman, Terengganu dijangka bermula pada tahun depan, menjadikannya tambahan kepada lima hospital sedia ada yang diuruskan oleh KMI Healthcare ketika ini.

Selain KMI Kuantan, KMI Healthcare menguruskan empat hospital iaitu KMI Kuala Terengganu (Terengganu), KMI Kelana Jaya (Selangor), KMI Taman Desa (Kuala Lumpur) dan KMI Tawau (Sabah).

Sementara itu, Tengku Farok Hussin berkata KMI Kuantan akan meningkatkan perkhidmatannya dengan menambah kepakaran selain membina bangunan tambahan di sebelah hospital sedia pada tahun depan yang dijangka dapat memulakan operasi pada awal 2027.

Katanya, bangunan yang melibatkan anggaran kos sebanyak RM100 juta itu akan didirikan di tanah berkeluasan 1.01 hektar dan penambahan 80 katil pesakit serta penyediaan kemudahan tempat parkir kenderaan.

-BERNAMA

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

TDM 0.265

Comments

Login to comment.