Pendapatan, untung bersih LSH Capital melonjak ketara

BeritaHarian Mon, Dec 05, 2022 03:46pm - 1 year View Original


KUALA LUMPUR: Lim Seong Hai Capital Bhd (LSH Capital) meraih pendapatan RM163.31 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2022, melonjak 142.2 peratus atau RM95.89 juta berbanding hanya RM67.42 juta yang dicatatkan pada tempoh sama tahun lalu.

Peningkatan ini disumbangkan oleh penggabungan sektor pembinaan dan perkhidmatan serta penyelesaian berkaitan pembinaan di bawah anak syarikat milik penuhnya, LSH BEST Builders Sdn Bhd (LSHBB).

Lonjakan pendapatan LSH Capital menyaksikan keuntungan selepas cukai kumpulan juga meningkat sebanyak 408.4 peratus atau RM32.40 juta kepada RM40.32 juta untuk tahun bagi tahun kewangan dikaji, daripada hanya RM7.93 juta pada kewangan berakhir 30 September 2021.

LSH Capital juga telah mengumumkan dividen peringkat satu interim kedua sebanyak 2.35 sen untuk setiap saham biasa dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM8.37 juta untuk tahun kewangan berakhir 30 September 2022 pada tarikh kelayakan 12 Disember 2022 dan tarikh pembayaran adalah pada 28 Disember 2022.

Pengarah Urusan Kumpulan LSH Capital, Lim Pak Lian berkata, pencapaian kewangan positif itu membuktikan kumpulan menuju ke arah menjadi antara nama yang tidak asing lagi di dalam industri pembinaan.

"BEST Collaboration Framework yang diterapkan telah menetapkan hala tuju yang betul untuk syarikat dan kami berpuas hati dengan prestasi kewangan setakat ini. Kami akan terus melaksanakan strategi pertumbuhan dan mengintai peluang untuk menambah kontrak dalam tangan sedia ada yang berjumlah RM848.0 juta.

"Tambahan lagi, peruntukan untuk perkhidmatan dan penyelesaian berkaitan pembinaan sebahagian daripada 'BEST Collaboration Framework', menyaksikan LSHBB berhak mendapat yuran berdasarkan projek pembinaan dan hartanah pelanggan kami yang bernilai RM 2.7 bilion," katanya.

Pengarah Bukan Eksekutif LSH Capital, Tan Sri Lim Keng Cheng pula berkata, seiring dengan polisi dividen dan komitmen untuk memberi ganjaran kepada pemegang saham seperti dinyatakan di dalam 'Information Memorandum' sebelum penyenaraian di dalam Pasaran LEAP, jumlah keseluruhan dividen yang diisytiharkan bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2022 berjumlah RM12.10 juta seiring dengan nisbah pembayaran dividen sebanyak 30.0 peratus dari keuntungan bersih kumpulan.

"Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan penghargaan kepada Ahli Lembaga Pengarah LSH Capital yang telah memberi sokongan dan sumbangan kepada pengurusan dan kakitangan bagi menjayakan 'BEST Collaboration Framework'," katanya.

LSH Capital telah mendapatkan kelulusan pemegang saham untuk mempelbagaikan perniagaan berkaitan pembinaan dan peruntukan untuk perkhidmatan serta penyelesaian berkaitan pembinaan dan segmen ini dijangka akan menjadi penyumbang kepada teras pendapatan LSH Capital Group.

Integrasi ke hadapan kepada bidang pembinaan dan perkhidmatan serta penyelesaian berkaitan pembinaan akan terus memacu dan menyokong perniagaan sedia ada iaitu Lim Seong Hai Lighting Sdn Bhd (LSH Lighting) dan Knight Auto Sdn Bhd (Knight Auto).

Kumpulan itu berhasrat untuk menjadi penyedia penyelesaian pembinaan menyeluruh dan perkhidmatan serta penyelesaian berkaitan pembinaan oleh LSHBB, pengedaran dan/atau jualan bahan pembinaan, produk pencahayaan dan produk dan perkhidmatan berkaitan M&E oleh LSH Lighting dan jualan borong dan/atau jualan runcit perkakasan dan peralatan juga sewaan jentera berat oleh Knight Auto.

"Ahli Lembaga Pengarah Kumpulan LSH Capital optimis terhadap prospek masa hadapan LSH Capital dan akan terus mengenalpasti dan menilai peluang baru bagi memperoleh kontrak berkaitan pembinaan dengan memanfaatkan kepakaran dalam bidang kejuruteraan dan teknikal serta pengalaman luas pengarah dan pengurusan utama di dalam industri pembinaan," tambah LSH Capital.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

LSH 0.880

Comments

Login to comment.