AEON Credit rangkul anugerah keseimbangan untung, amalan mapan

BeritaHarian Mon, Dec 05, 2022 05:13pm - 1 year View Original


KUALA LUMPUR: AEON Credit Service (M) Bhd (AEON Credit) meraih dua anugerah berprestij bagi mengiktiraf komitmen berterusan kumpulan dalam memacu pertumbuhan perniagaannya sambil mengekalkan keseimbangan antara keuntungan dan amalan perniagaan yang mapan.

Dalam pengiktirafan terhadap kepimpinannya terhadap alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), AEON Credit yang juga konstituen dalam FTSE4Good Bursa Malaysia sejak 2015 meraih anugerah Perak sebagai 'Syarikat Berprestasi Konsisten Sejak 5 tahun Terbaik' di bawah kategori Ekuiti pada The Edge Malaysia ESG Awards 2022.

AEON Credit juga dianugerahkan dengan Kelas Aset ASEAN pada Anugerah Kad Skor Tadbir Urus Korporat ASEAN (ACGS) 2021, di atas usahanya dalam mengamalkan tadbir urus korporat yang baik merentas strategi perniagaan serta operasi kumpulan.

Syarikat itu antara penerima anugerah dalam kalangan 230 syarikat di seluruh rantau ASEAN, iaitu Indonesia, Malaysia, Filipina, Thailand, Singapura dan Vietnam.

Mengulas mengenai anugerah yang diraih AEON Credit, Pengarah Urusannya, Daisuke Maeda, berkata pengiktirafan itu menjadi bukti prestasi kewangan yang konsisten dan usaha berterusan syarikat dalam mengukuhkan piawaian tadbir urus korporatnya.

"Sambil mengekalkan prestasi kukuh sepanjang tahun, kami sentiasa mencari untuk menetapkan penanda aras bagi proses dan sistem tadbir urus korporat serta penambahbaikan berterusan kami berkaitan dengan pendedahan kemampanan kami.

"Kami juga berusaha keras dalam menambah baik amalan alam sekitar dan sosial kami. Kami telah mengambil pendekatan di seluruh kumpulan dalam mengguna pakai amalan kemampanan kami yang sejajar dengan Matlamat Pembangunan Kelestarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG) ke dalam strategi perniagaan dan operasi harian kami.

"Ini mencerminkan komitmen jangka panjang kumpulan untuk mengguna pakai amalan ESG terbaik yang akan mewujudkan nilai jangka panjang dan impak positif untuk semua pemegang kepentingan kami dan membina masa depan yang mampan untuk semua orang," katanya dalam satu kenyataan.

AEON Credit telah menubuhkan Jawatankuasa Pengurusan Kelestarian (MSC) dan melantik perunding ESG untuk menyokong pelaksanaan kemampanan kumpulan serta mewujudkan pelan hala tuju dan KPI ESG selama tiga tahun.

Sehingga kini, Pelan Hala Tuju ESG telah pun dirumuskan dengan kumpulan melengkapkan kedua-dua profil pelepasan karbon bagi Skop 1 dan 2.

Menuju ke hadapan, AEON Credit akan memasukkan pembiayaan mampan ke dalam strategi pembiayaannya untuk meningkatkan amalan ESG.

Kumpulan itu baru-baru ini telah memperoleh sejumlah RM500 juta pinjaman berkaitan kemampanan (SLL) untuk mengembangkan portfolio pembiayaan mampan dan aktiviti pengurangan pelepasan karbon.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

AEONCR 6.960
BURSA 7.460

Comments

Login to comment.