Tiada rancangan gabung AirAsia, AirAsia X

BeritaHarian Tue, Dec 06, 2022 10:25pm - 1 year View Original


KUALA LUMPUR: Capital A Bhd menjelaskan bahawa tiada rancangan penggabungan antara AirAsia Bhd dan AirAsia X Bhd (AAX), tetapi kumpulan penerbangan disenarai awam berasingan akan dibentuk di bawah strategi menangani status Nota Amalan 17 (PN17) yang dicadangkan.

"Syarikat mahu menjelaskan bahawa pelan yang dicadangkan itu bukanlah penggabungan AirAsia dan AAX tetapi potensi pelupusan aset penerbangan Capital A kepada AAX untuk membentuk kumpulan penerbangan disenarai awam berasingan yang terdiri daripada enam syarikat penerbangan.

"Ia membabitkan empat syarikat penerbangan jarak dekat dan dua syarikat penerbangan jarak sederhana iaitu AirAsia, Thai AirAsia, AirAsia Indonesia, AirAsia Filipina, AAX dan Thai AirAsia X," kata Capital A dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Kumpulan itu berkata demikian bagi mengulas dua artikel berita di Edge CEO Morning Brief bertajuk 'No merger of AirAsia's Aviation business, says Fernandes' dan 'Super Plus app set to spur Capital A' diterbitkan di platform e-akhbar The Star.

Kumpulan itu berkata, pelan masih dalam proses dan akan tertakluk kepada pelbagai kelulusan termasuk oleh lembaga pengarah syarikat, pemegang saham dan Bursa Malaysia Securities Bhd.

Syarikat itu akan membuat pengumuman sebaik sahaja rancangan itu dimuktamadkan, kata Capital A.

Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes memberitahu media bahawa semua operasi penerbangan akan disuntik di bawah satu struktur sedia ada, iaitu AirAsia Aviation Group (AAG).

"Kami hanya menyuntik syarikat penerbangan AirAsia ke dalam status penyenaraian AAX… tidak ada penggabungan. AAX akan dinamakan semula sebagai AAG dan akan terdapat enam syarikat penerbangan di bawahnya.

"Sebagai satu syarikat, kami boleh mengurangkan banyak kos tetapi akan ada operasi berasingan oleh setiap syarikat penerbangan individu," katanya.

Saham Capital A di Bursa Malaysia ditutup 1.5 sen lebih tinggi kepada 58.5 sen dengan 3.69 juta saham bertukar tangan manakala AAX tidak berubah pada 44.5 sen dengan 100,100 saham didagangkan.

-BERNAMA

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

AAX 1.210
BURSA 7.440
CAPITALA 0.660

Comments

Login to comment.