Tekanan jualan, Bursa Malaysia ditutup rendah hari ketiga
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup rendah untuk hari ketiga berturut-turut hari ini, diasak tekanan jualan ketara saham wajaran tinggi ketika pelabur terus berhati-hati susulan lonjakan hasil bon berdaulat dalam tempoh semalaman, kata peniaga.
Pada 5 petang, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 0.33 peratus atau 4.77 mata kepada 1,462.55 daripada 1,467.32, semalam.
Indeks penanda aras itu yang dibuka susut 0.31 mata pada 1,467.01, bergerak dalam jajaran 1,458.82 dan 1,469.42 sepanjang sesi dagangan hari ini.
Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi untung iaitu 502 berbanding 357 manakala 413 kaunter tidak berubah, 992 tidak diniagakan dan 22 lain digantung dagangannya.
Jumlah dagangan meningkat kepada 2.91 bilion unit bernilai RM1.71 bilion berbanding 2.77 bilion unit bernilai RM1.78 bilion pada Selasa.
Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata pelabur masih bimbangkan kadar faedah AS yang tinggi dan boleh menjejaskan harapan untuk menyaksikan keadaan lebih positif di peringkat global.
"Di Asia misalnya, peniaga masih menjangkakan pertumbuhan lebih perlahan dalam senario China membuka semula ekonominya berbanding unjuran pertumbuhan lebih tinggi pada 2023. Bursa Malaysia juga berkemungkinan bergerak dengan bersandarkan situasi atau naratif tersebut menjelang akhir tahun ini," katanya.
Laporan sebelum ini menunjukkan tindakan bank pusat Jepun iaitu Bank of Japan (BoJ) hanya merangsang pendirian menaikkan kadar faedah selepas Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) dan Bank Pusat Eropah (ECB) mengejutkan pasaran dengan pendirian sama, minggu lepas.
Dalam tindakan di luar jangkaan, BoJ bertindak mengubah kawalan pulangan hasil bon dengan memberi lebih banyak ruang untuk kenaikan kadar faedah jangka panjang.
"Tindakan BoJ itu hanya melonjakkan lagi peningkatan hasil di peringkat global," kata Innes.
Di peringkat tempatan, saham wajaran tinggi Bursa Malaysia seperti Maybank untung lapan sen kepada RM8.78, Public Bank meraih empat sen kepada RM4.41, Petronas Chemicals sebaliknya susut 10 sen kepada RM8.08, CIMB naik tiga sen kepada RM5.79 dan TNB turun satu sen kepada RM9.17.
Saham aktif menyaksikan Citaglobal dan Unique Fire menokok 1.5 sen masing-masing kepada 29 sen dan 24.5 sen, Nylex naik 5.5 sen kepada 37.5 sen manakala Advance Synergy susut setengah sen kepada 18 sen dan Jaks Resources rugi empat sen kepada 24 sen.
Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas turun 38.10 mata kepada 10,494.75, Indeks FBMT 100 susut 34.69 mata kepada 10,205.53, Indeks FBM Emas Syariah berkurangan 88.90 mata kepada 10,552.17, Indeks FBM 70 naik 49.53 mata kepada 12,813.68 dan Indeks FBM ACE menguncup 8.48 mata kepada 5,465.85.
Bagi sektor, Indeks Perladangan turun 48.23 mata kepada 6,773.35, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian mengecil 2.34 mata kepada 175.39, Indeks Perkhidmatan Kewangan sebaliknya naik 53.83 mata kepada 16,602.18 manakala Indeks Tenaga meraih 1.07 mata kepada 784.27.
Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 1.63 bilion saham bernilai RM1.24 bilion berbanding 1.53 bilion saham bernilai RM1.32 bilion, semalam.
Waran turut mengukuh kepada kepada 298.01 juta unit bernilai RM49.10 juta daripada 252.68 juta unit bernilai RM59.34 juta, sebelum ini.
Di Pasaran ACE, jumlah dagangan susut kepada 981.97 juta saham bernilai RM420.68 juta daripada 988.72 juta saham bernilai RM401.51 juta sebelumnya.
Selain itu, produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sejumlah 268.23 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmatan perindustrian (591.51 juta); pembinaan (116.70 juta); teknologi (184.04 juta); SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (39.65 juta); hartanah (87.50 juta); perladangan (15.45 juta); REIT (4.84 juta), dana tertutup (8,100); tenaga (158.37 juta); penjagaan kesihatan (71.87 juta); telekomunikasi dan media (46.19 juta); pengangkutan dan logistik (32.03 juta) serta utiliti (15.17 juta).
– Bernama
TAG: Bursa Malaysia, FBM KLCI, Stephen Innes, BoJ, tutup
The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.
Related Stocks
Comments