Peserta Ishraf 2.0 raih jualan RM3.6j

HarianMetro Fri, Dec 23, 2022 07:10am - 1 year View Original


PROGRAM Keusahawanan Asnaf SME Bank atau Ishraf 2.0 telah menunjukkan hasil apabila 79 peserta berjaya meraih jualan terkumpul RM3.6 juta sehingga suku ketiga 2022.

Program Ishraf 2.0 bermula pada November 2021 adalah kesinambungan Ishraf 1.0 bertujuan meningkatkan taraf hidup peniaga asnaf dan mikro yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Datuk Wira Dr Aria Putera Ismail berkata, lima peserta terbaik program ini mencatatkan purata jualan sebanyak RM22,000 sebulan.

"Secara keseluruhannya, peserta telah mencatatkan peningkatan jualan yang positif sejak menyertai Program Ishraf 2.0 dengan purata jualan sebanyak RM5,100 sebulan berbanding RM3,300 sebulan sebelum ini," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, bagi memastikan Program Ishraf 2.0 meninggalkan impak jangka panjang, pihak Bank menetapkan empat penunjuk prestasi utama (KPI) iaitu peningkatan hasil jualan, jumlah pekerja, adaptasi teknologi dan penambahbaikan pasaran atau produk baharu.

"Kami mahu peserta mencapai empat KPI ini kerana ini adalah penunjuk yang digunakan oleh usahawan sebenar di luar sana dalam mengukur tahap pencapaian perniagaan mereka.

"Oleh itu, kami berharap peserta program ini dapat menerapkan KPI sebegini dalam pengurusan perniagaan agar mereka dapat keluar daripada status asnaf dan mampu mengembangkan perniagaan ke tahap lebih tinggi," katanya.

Antara contoh kejayaan peserta Program Ishraf 2.0 ialah Shazzuan Shah Mohd Salleh, yang berjaya meningkatkan purata jualan hampir 147 peratus iaitu sebanyak RM17,000 sebulan berbanding RM6,900 sebelum menyertai program ini.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Comments

Login to comment.