Marine & General kembali raih untung

BeritaHarian Tue, Dec 27, 2022 08:14pm - 1 year View Original


KUALA LUMPUR: Marine & General Bhd kembali untung apabila mencatatkan untung bersih kepada RM16.67 juta bagi suku kedua berakhir 31 Oktober 2022 berbanding kerugian bersih RM10.03 juta setahun lalu.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, hasil daripada penyewaan kapal sokongan luar pesisir meningkat 52 peratus kepada RM82.09 juta daripada RM54.11 juta sebelumnya, sejajar dengan tahap operasi dan kadar sewa yang lebih tinggi.

Dengan penyambungan semula aktiviti ekonomi dan pemulihan harga minyak, syarikat itu berkata pasaran kini lebih optimistik dan aktiviti penerokaan dan penggerudian telah disambung semula sejak separuh kedua 2021.

Sehubungan itu, penggunaan kapal bagi kedua-dua bahagian huluan dan hiliran masing-masing meningkat kepada 74 peratus dan 86 peratus, berbanding suku yang sama tahun sebelumnya.

Pada asas enam bulan terkumpul, kumpulan itu mencatatkan pendapatan RM157.43 juta, naik 59 peratus berbanding RM98.77 juta setahun lalu.

"Peningkatan ini disebabkan terutamanya oleh aktiviti sewaan dan kadar sewaan yang lebih tinggi yang direkodkan oleh bahagian huluan sejajar dengan penyambungan semula aktiviti penggerudian," katanya.

Mengenai prospek pada tahun semasa, bahagian huluan kumpulan itu mengharapkan tahun yang lebih aktif sejajar dengan prospek positif Petronas dalam aktiviti penggerudian dan penerokaannya.

Bagi bahagian hiliran, syarikat sedang meninjau operasi penyewaan yang lebih aktif, setelah menambah kapal tangki produk petroleum bersih baharu dan sudah memperoleh kontrak sewa bertempoh untuk semua kapalnya.

Namun begitu, lembaga pengarah tetap berhati-hati tentang kemungkinan gangguan ekonomi akibat daripada ketidakstabilan geopolitik di Eropah kerana ini boleh menjejaskan iklim ekonomi serantau dan domestik.

-BERNAMA

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

BURSA 7.460
M&G 0.245

Comments

Login to comment.